Persaingan naib presiden Umno meriah


The Malaysian Insight

Sebanyak 7 calon bertanding naib presiden walaupun ada dalam kalangan Umno mendakwa sekatan pertandingan presiden dan timbalan presiden melanggar perlembagaan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2023.

PERSAINGAN untuk tiga jawatan naib presiden Umno meriah dengan tujuh calon bertanding biarpun seorang penyandangnya Ismail Sabri Yaakob mendakwa pemilihan pada 18 Mac nanti tidak sah mengikut undang-undang.

Ismail Sabri tidak mempertahankan jawatannya atas alasan tidak mahu dianggap merestui keputusan Perhimpunan Agung Umno 2022 meluluskan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi presiden dan timbalan presiden.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya meminta Ismail Sabri menghormati keputusan perhimpunan agung parti, sebagai antara badan pembuat keputusan dalam Umno.

Daripada tujuh yang mencalonkan diri untuk jawatan naib presiden, dua ialah penyandang iaitu Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin, sementara empat daripada lima yang lain ialah mereka yang pertama kali menawarkan diri bertanding jawatan itu termasuk dua yang sebelum ini menang pemilihan Majlis Kerja Tertinggi.

Berikut adalah senarai dan latar belakang calon-calon naib presiden Umno:

Mahdzir Khalid

Pada pemilihan Umno 2018, Mahdzir menduduki tempat kedua di belakang Ismail Sabri, ketinggalan hampir 22,000 undi perwakilan. Mahdzir menang di 125 bahagian sementara Ismail Sabri menang di 183 bahagian.

Ini adalah kali kedua Mahdzir, 62, bertanding jawatan naib presiden.

Selepas pencalonan ditutup Ahad lepas, Mahdzir juga kekal tidak dicabar sebagai ketua Umno Padang Terap.

Beliau juga satu-satunya ketua bahagian yang menang tanpa bertanding di Kedah ketika 14 bahagian lain akan menyaksikan pertandingan termasuk empat penjuru di empat bahagian.

Mahdzir adalah antara pemimpin kanan Umno yang gagal mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas menteri pembangunan luar bandar dalam pentadbiran Ismail Sabri itu kalah kerusi Parlimen Padang Terap kepada calon Perikatan Nasional (PN) Nurul Amin Hamid daripada PAS dengan majoriti hampir 11,000 undi. 

Mohamed Khaled Nordin

Khaled, 64, juga bertanding jawatan naib presiden Umno untuk kali kedua. Pada pemilihan Umno 2018, beliau menang di 88 bahagian, lebih hanya tiga bahagian daripada pesaing terdekatnya iaitu Johari Abdul Ghani.

Khaled kini memegang jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor. 

Beliau menggantikan bekas menteri besar Johor Hasni Mohamad yang digugurkan jawatan ketika Umno melakukan “pembersihan besar-besaran” memecat lebih 40 ahli dan pemimpin termasuk bekas ketua sayap Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada hujung Januari.

Khaled juga adalah antara enam pemimpin bahagian di Johor yang menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup Ahad lepas. Beliau mengetuai Umno Pasir Gudang sejak 2004.

Hasni Mohamad

Hasni, 63, adalah calon pertama yang tampil menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menawarkan khidmat kerana masih mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti itu.

“Saya menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno pada pemilihan parti kali ini kerana itu sahaja jawatan (tertinggi) yang dibenarkan ditandingi,” kata, seperti dipetik media ketika mengumumkan keputusannya pada 4 Februari.

Hasni yang juga ketua Umno Pontian bagaimanapun dicabar pula di peringkat bahagian oleh timbalannya Ahmad Maslan, yang juga sekarang setiausaha agung Umno.

Hasni mengetuai Umno Pontian sejak 2011 sementara Ahmad menjadi timbalannya sejak 2008.

Azalina Othman Said

Azalina adalah satu-satunya menteri kabinet dalam anggota Jemaah Menteri Anwar Ibrahim yang bertanding kerusi naib presiden Umno.

Beliau juga satu-satunya calon wanita yang tampil bersaing untuk jawatan naib presiden dalam sejarah Umno sejak penubuhannya pada 1946 dan dihidupkan semula pada 1988 selepas diharamkan oleh mahkamah.

Azalina, 59, sebelum ini ahli Majlis Kerja Tertinggi yang menang pada pemilihan parti 2018.

Bekas ketua pertama dan pengasas sayap Puteri Umno ini juga calon ketiga dari Johor bersama Khaled dan Hasni.

Reezal Merican Naina Merican

Reezal Merican, 50, adalah adalah calon kedua dari Majlis Kerja Tertinggi Umno yang mencuba nasib bersaing di peringkat lebih tinggi selain Azalina.

Beliau juga calon paling muda yang menawarkan diri untuk salah satu kerusi naib presiden Umno. 

Katanya, Umno yang sedang dilanda badai memerlukan barisan kepimpinan yang terbaik untuk mengemudi parti dan beliau mahu menawarkan pilihan kepada perwakilan yang akan menentukan masa depan parti.

“Saya berharap ini adalah satu tawaran yang baik kepada semua perwakilan sebab yang ada sebaris dengan persaingan saya juga mempunyai banyak pengalaman.

“Namun, saya menawarkan khidmat sebagai salah satu calon yang boleh dikatakan sentiasa ada 24 jam sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran,” katanya, seperti dipetik portal Umno Online.

Reezal adalah antara bekas menteri yang kalah pada PRU15. Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas yang merupakan kubu Umno dan Barisan Nasional sejak kawasan pilihan raya itu diwujudkan pada 1974.

Johari Abdul Ghani

Ahli perniagaan ini membuat kemunculan semula apabila merampas semula kerusi Parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum lepas.

Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2018, kalah kepada ketua Wanita Bersatu Rina Harun.

Ini adalah kali kedua Johari, 58, mencuba nasib untuk memegang jawatan ketiga tertinggi dalam Umno, selepas hanya menduduki tempat keempat dalam persaingan untuk tiga tempat pada pemilihan parti lima tahun lepas.

Selepas menyerahkan borang pencalonannya Jumaat lalu, Johari setakat ini belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung hasratnya bertanding jawatan naib presiden Umno.

Wan Rosdy Wan Ismail

Menteri besar Pahang penggal kedua ini menawarkan diri bertanding naib presiden Umno juga dengan hasrat memulihkan kedudukan parti selepas prestasi buruk dalam dua pilihan raya umum berturut-turut.

Beliau malah melihat imej Umno sekarang semakin merosot pada mata rakyat terutama selepas PRU15. 

“Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, keputusan ini mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti,” katanya, dalam kenyataan mengumumkan pencalonannya.

Pasukan

Semua 191 bahagian Umno akan memilih tiga naib presiden parti pada pemilihan yang diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini, bersekali dengan pertandingan untuk 25 kerusi ahli Majlis Kerja Tertinggi.

Setakat ini, belum jelas regu yang bersaing sebagai pasukan, seperti lazimnya pada setiap pemilihan Umno.

Zahid sebelum ini berkata kewujudan pasukan yang bersaing pada pemilihan Umno tidak akan mempengaruhi perwakilan menentukan calon yang terbaik untuk masa depan parti.

Semalam, Zahid bagaimanapun menegaskan tidak ada kem-kem dalam Umno seperti yang digembar-gemburkan menjelang pemilihan parti bulan depan.

“Ada kem, satu kem sahaja, kem Umno Malaysia,” katanya. – 1 Mac, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen