TOYS ‘R’ US merancang untuk menjual atau menutup semua kedainya di Amerika Syarikat berkemungkinan menyebabkan 33,000 hilang pekerjaan, lapor media negara itu semalam.
Jenama yang kini terjerut hutang itu memfailkan perlindungan muflis pada September, memberitahu pekerjanya yang pengurusan sedang merangka kertas pencairan aset menjelang pendengaran kes di mahkamah pada Khamis ini, lapor The Wall Street Journal dan The Washington Post.
“Kami meletakkan tanda jualan pada semua benda,” kata CEO David Brandon dalam satu panggilan kepada kakitangan syarikat itu, lapor akhbar itu
Pegawai syarikat masih tidak membalas permintaan mengulas isu itu oleh AFP.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1948 ketika zaman gemilang ekonomi AS pasca perang, Toys ‘R’ US mempunyai 881 kedai di seluruh AS dan menggaji 65,000 pekerja di seluruh dunia, menurut kenyataan media terbaru syarikat itu bulan lepas.
Syarikat berpangkalan di New Jersey itu terpalit dengan hutang susulan pengambilalihan pada 2005 oleh konsortium melibatkan KKR Group dan Bain Capital.
Seperti peruncit lain, Toys ‘R’ US terjejas dengan persaingan Amazon dan peruncit dalam talian lain.
Neil Saunders, pengarah urusan GlobalData Retail menyalahkan kepimpinan syarikat yang lemah.
“Dinamik persaingan pasaran alat permainan semakin sengit, dan pengurusan gagal bertindak balas dan berubah. Kerana itu, jenama itu hilang relevan, pelanggan dan jualan,” kata Saunders pada Rabu.
“Tragedi terbesar pencairan adalah kehilangan pekerjaan besar-besaran. Pada pandangan kami, pekerja dikecewakan oleh pengurusan dan mereka yang melakukan urusniaga kewangan itu.”
Syarikat itu sedang meneroka strategi untuk terus membolehkan jenama itu hidup, termasuk penjualan 200 kedai di AS yang boleh disertakan dengan perniagaannya di Kanada, lapor CNBC dan media lain.
Brandon menggariskan perkara ini dan kemungkinan lain pada pertemuan di New Jersey, lapor CNBC. Brandon juga memberitahu pekerja yang mereka mempunyai 60 hari lagi untuk bekerja di syarikat itu.
Pada Februari, perniagaan syarikat itu di Britain mengumumkan “arahan penutupan” untuk kedainya. Toys ‘R’ US di Britain menggaji 3,200 orang di 100 kedainya di negara itu. – AFP, 15 Mac, 2018.
Komen