Mekanisme subsidi bersasar perlu perbincangan lanjut, kata pakar ekonomi


Pelaksanaan subsidi bersasar masih menjadi topik perbincangan pelbagai peringkat di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2023.

MEKANISME bagi pelaksanaan subsidi bersasar masih tidak jelas dan memerlukan perbincangan mendalam agar lebih realisitik dan menepati sasaran, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata ini berikutan terdapat pelbagai mekanisme yang diketengahkan atau disarankan termasuk penggunaan data kad pengenalan atau nombor pendaftaran kenderaan.

Beliau berkata, penggunaan kedua-dua kaedah itu sebaliknya memerlukan pelaburan tinggi bagi membolehkan subsidi berkenaan dapat dilaksanakan.

“Kita mungkin boleh bercakap mengenainya kerana berada di Kuala Lumpur, namun bagaimana dengan mereka yang berada di Miri, di Kelantan dan lokasi pedalaman?

“(Oleh itu) kita perlu bersikap realistik dan kalau kita mahu buat subsidi bersasar dilaksanakan kita kena bincang dengan lebih mendalam apakah mekanisme yang terbaik,” katanya pada panel diskusi di Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Malaysia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas selanjutnya Firdaos juga menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar sebagai agak rumit kerana memerlukan data pendapatan iaitu kadar pendapatan individu dan isi rumah.

Menurutnya orang ramai hanya maklum mengenai pendapatan isi rumah pada 2020 yang ketika itu kadar penganggurannya lebih kurang lima peratus.

“Namun pada masa ini kadar pengangguran (mencecah) 3.6 peratus (sudah berkurangan). Gaji pula meningkat dan berikutan itu kadar inflasi juga meningkat,” katanya. – Bernama, 28 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen