China, Rusia setuju bekerjasama isu keselamatan di rantau Asia


China setuju untuk bekerjasama dengan Rusia dalam pembangunan dan keselamatan di rantau Asia menerusi rundingan pusingan baharu antara kedua-dua pihak. – Gambar AFP, 28 Februari 2023.

CHINA dan Rusia bersetuju untuk bekerjasama dalam pembangunan dan keselamatan di rantau Asia menerusi rundingan pusingan baharu antara kedua-dua pihak, lapor Sputnik memetik Kementerian Luar China pada Selasa.

“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai situasi di rantau Asia, kerjasama serantau dan isu-isu lain yang mempunyai kepentingan bersama serta bersetuju untuk memperhebatkan kerjasama berdasarkan keadaan semasa, di samping bersama-sama menyediakan keselamatan dan pembangunan di rantau ini,” menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Rundingan dua hala itu diadakan di Beijing pada Isnin dan dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Kementerian Luar China Liu Jinsong dan Pengarah Jabatan Kerjasama Asia dan Pasifik Kementerian Luar Rusia Alexey Ovchinnikov. – Bernama, 28 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen