FIRMA guaman yang menjadi tumpuan skandal elak cukai, “Kertas Panama” sehingga menyebabkan dua pemimpin negara tumbang ditutup, kata pengumuman hari ini yang memetik liputan negatif media dan tindakan pihak berkuasa yang tidak perlu.
“Kerosakan reputasi, kempen media, kesan kewangan dan tindakan tidak perlu oleh beberapa pihak berkuasa Panama menyebabkan kerosakan tidak tertanggung dan penutupan sepenuhnya operasi pada hujung bulan ini,” kata Mossack Fonseca dalam satu kenyataan.
Tetapi sebuah kumpulan kecil akan kekal wujud untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, masyarakat dan pihak persendirian.
Ogos lalu, pengasasnya Jurgen Mossack mengakui firma itu sudah menutup kebanyakan pejabatnya di luar negara selepas reputasinya rosak teruk kerana skandal itu menyebabkan perniagaan terjejas.
Pada 3 April 2016, skandal “Kertas Panama” terbongkar apabila 11.5 juta fail digital Mossack Fonseca bocor mendedahkan bagaimana kumpulan elit dan kaya seluruh dunia mewujudkan akaun pesisir pantai untuk melindungi aset mereka.
Maklumat itu diperolehi oleh akhbar Jerman, Suedduetsche Zeitung yang kemudiannya memberikannya kepada Konsortium Antarabangsa Kewartawanan Siasatan. Ia didedahkan sebagai pangkalan data dan pembongkaran kes masih berterusan sehingga sekarang.
Perdana Menteri Iceland Sigmundur David Gunnlaugsson dipaksa meletak jawatan selepas keluarganya didapati mempunyai akaun pesisir pantai, dan bekas Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif diharamkan daripada politik seumur hidup kerana skandal itu.
Antara orang ternama lain yang terlibat ialah bekas Perdana Menteri Britian David Cameron, pemain bola sepak terkenal Lionel Messi, Presiden Argentina Mauricio Macri, pengarah filem Sepanyol Pedro Almodovar dan ramai lagi.
Sekurang-kurangnya 150 kertas siasatan di buka di 79 negara untuk menyiasat pengelakan cukai dan penggubahan wang haram kerana skandal itu menurut Pusat Integriti Awam di AS. – AFP, 15 Mac, 2018.
Komen