AS lulus resolusi zahir sedih untuk mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria


Gempa bumi berukuran masing-masing pada 7.7 dan 7.6 magnitud, berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan kira-kira 13 juta orang di 11 wilayah. – Gambar AFP, 28 Februari, 2023.

DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan resolusi menzahirkan rasa sedih atas kehilangan nyawa dalam gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria serta  mengecam rejim Bashar al-Assad Syria yang menghalang kemasukan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sempadan negara itu.

Resolusi dengan undian 412-2, turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi selain memuji kerja bantuan kemanusiaan dan penyelamat di lapangan.

Dua perwakilan yang mengundi menentang resolusi itu ialah Wakil Republikan Marjorie Taylor Greene dan Thomas Massie, lapor Agensi Anadolu (AA).

Usul dibawa Wakil Republikan Joe Wilson dari South Carolina itu mengecam usaha rejim Assad Syria yang mengeksploitasi bencana untuk mengelak tekanan antarabangsa dan akauntabiliti.

“Keluarga Amerika ikhlas menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang bersedih atas kehilangan orang tersayang dan merawat mereka yang cedera,” kata Wilson menjelang pengundian itu.

“Republik Turkiye merupakan sekutu NATO lebih 70 tahun, dan sebagai pengerusi bersama Kaukus Kongres mengenai hubungan AS-Turkiye dan warga Amerika Turkiye, saya menyokong usaha mereka dalam memenuhi keperluan mangsa gempa bumi itu,” katanya.

Wilson juga menggesa PBB supaya tidak mempolitikkan bantuan kemanusiaan ke Syria selain menangani halangan oleh Assad dan Presiden Russia Vladimir Putin.

“Resolusi ini menggesa Presiden (Joe) Biden supaya menggunakan segala usaha diplomatik untuk mendorong PBB memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Pemimpin parti Demokratik, Bill Keating pula berkata resolusi itu menghantar mesej solidariti yang kukuh daripada Amerika Syarikat kepada rakyat Turkiye dan Syria selain ikrar untuk memberi sokongan kepada mangsa gempa bumi itu.

Dua gempa bumi dahsyat pada 6 Februari lepas meragut lebih 44,300 nyawa di wilayah selatan Turkiye.

Gempa bumi berukuran masing-masing pada 7.7 dan 7.6 magnitud, berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan kira-kira 13 juta orang di 11 wilayah, termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.

Lebih 10,200 gegaran susulan dilaporkan, termasuk gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang menggegarkan Malatya pada Isnin dan membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan 110 yang lain. – Bernama, 28 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen