Messi tewaskan Mbappe, menang anugerah terbaik FIFA


Lionel Messi menang anugerah pemain lelaki terbaik FIFA 2022 susulan kejayaannya menjuarai Piala Dunia bersama Argentina. – Gambar AFP, 28 Februari, 2023.

LIONEL Messi menang anugerah pemain lelaki terbaik FIFA 2022 susulan kejayaannya menjuarai Piala Dunia bersama Argentina, manakala Alexia Putellas dari Sepanyol mengekalkan gelaran pemain terbaik wanita.

Messi menewaskan rakan sepasukan Paris Saint-Germain dan pesaing final Piala Dunia dari Perancis, Kylian Mbappe dengan pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema seorang lagi calon untuk anugerah itu.

Ini kali kedua Messi memenangi anugerah diperkenalkan FIFA pada 2016 selepas badan induk bola sepak dunia itu menamatkan kerjasama dengan penganjur Ballon d’Or, France Football.

Anugerah yang dihakimi kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan, wartawan serta peminat itu, menobatkan Messi sebagai pemenang selepas bekas bintang Barcelona itu melengkapkan karier gemilangnya dengan kejayaan di Piala Dunia tahun lalu.

Messi meledak dua kali dalam aksi final di Doha ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti, walaupun Mbappe menjaringkan hatrik untuk Les Bleus bagi mengikat kedudukan 3-3.

Beliau turut meraih Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, mengatasi Mbappe yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, satu mengatasi Messi.

“Tahun ini cukup gila buat saya, mencapai impian saya yang saya perjuangkan selama ini. Akhirnya saya berjaya meraihnya dan ia perkara paling indah dalam karier saya.

“Ia adalah impian setiap pemain bola sepak tetapi tidak ramai mampu merealisasikannya,” kata Messi selepas menerima anugerah.

Sementara itu, Putellas mengekalkan anugerah untuk kategori wanita walaupun tidak beraksi sepenuhnya musim lalu akibat kecederaan. – AFP, 28 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen