KERAJAAN Kanada mengharamkan aplikasi TikTok di semua telefonnya dan perkakasan lain, susulan kebimbangan berkenaan perlindungan data.
Syarikat ByteDance dari China adalah syarikat induk pemilik TikTok, dan pada masa ini berdepan kecaman dari negara barat sejak beberapa bulan lalu berkaitan akses Beijing terhadap data penggunanya.
Berkuatkuasa Selasa, aplikasi TikTok akan dikeluarkan daripada semua perkakasan telefon milik kerajaan.
Pengguna perkakasan ini juga akan disekat daripada memuat turun aplikasi itu pada masa akan datang, kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Ia berkata pejabat ketua penerangan Kanada mengenal pasti aplikasi itu mewakili paras risiko kepada privasi dan keselamatan yang tidak dapat diterima.
Walaupun tidak ada bukti pelanggaran data kerajaan yang dikaitkan dengan aplikasi itu, kerajaan berkata kaedah pengumpulan data dilakukan TikTok memberikan akses kepada kandungan telefon.
Suruhanjaya Eropah mengharamkan aplikasi itu daripada semua peralatannya minggu lalu, mengikut jejak langkah diambil Amerika Syarikat. – AFP, 28 Februari, 2023.
Komen