Lagi gempa bumi landa Türkiye, seorang maut


Menurut AFAD, gempa bumi itu dilaporkan berlaku pada 12.04 tengah hari waktu tempatan (0904GMT). – Gambar Facebook, 27 Februari, 2023.

SEKURANG-kurangnya seorang maut manakala 69 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Malatya Türkiye pada Isnin, kata Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Yunus Sezer.

Gempa bumi dilaporkan berlaku pada 12.04 tengah hari waktu tempatan (0904GMT) dan berpusat 6.96 kilometer (4.32 batu) di daerah Yesilyurt, lapor Agensi Anadolu.

Gegaran turut dirasai di wilayah Kahramanmaras, Gaziantep, Adıyaman, dan Sanliurfa.

“Beberapa bangunan turut musnah akibat gempa itu. Pasukan mencari dan menyelamat dihantar ke kawasan berkenaan,” menurut ciapan AFAD.

Agensi pengurusan bencana mengeluarkan amaran agar orang ramai tidak memasuki bangunan yang rosak dan meminta mereka menjauhi struktur berisiko di wilayah itu.

Kejadian itu susulan dua gempa bumi dahsyat yang melanda pada 6 Februari lalu hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 44,374 orang. – Bernama, 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen