Cabaran buat Johari Ghani


SAYA mencabar Johari Abdul Ghani mengumumkan berapakah jumlah status tanah di Kampung Bharu yang berjaya diselesaikan, dan dimanakah alternatif kepada isu parkir dikawasan pintu gerbang Kampung Baru.

Cukup dua isu cabaran saya buat ahli Parlimen Titiwangsa. Isu pelacuran di Chow Kit, peniaga warga asing dan bermacam lagi, saya yakin Menteri Kewangan 2 tidak cukup masa untuk menjawab.

Serangan balas Syed Ali Alhabshee terhadap saya tidak dapat menyembunyikan kelemahan Johari dalam menguruskan Parlimen Titiwangsa.

Mempertikaikan asal-asul saya adalah perkara yang paling lemah boleh dibangkitkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Saya lahir, membesar dan bersekolah di Kampung Bharu Kuala Lumpur. Titiwangsa adalah kawasan saya bermain sejak kecil sehingga kini. Malah saya juga pengundi di Parlimen Titiwangsa.

Walaupun Syed Ali berkata bahawa beliau adalah pengundi Parlimen Titiwangsa, tetapi beliau bukan anak Titiwangsa. Kerana itu beliau tidak faham akan maksud pembangunan kepada pewaris tanah di Kampung Baru.

Keluarga saya juga mewarisi sebidang tanah di situ dan tanah ini diwarisi sejak turun temurun.

Seluruh pengurusan tanah warisan di Kampung Baru, diuruskan oleh satu lembaga pentadbiran khas disebut Malay Agricultural Settlement (MAS).

Di dalam simpanan rekod mereka secara kasar terdapat lebih 1,500 lot dan lebih 5,000 pewaris tanah di Kampung Baru. Malahan terdapat juga lot yang dimiliki puluhan pemilik di atas satu bidang tanah. Dan ada yang gagal dikesan.

Perkara ini turut diakui oleh Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu (PKB) Affendi Zahari dalam satu kenyataan media pada bulan Mac tahun lalu bahawa PKB berhadapan masalah mengesan sebilangan besar pemilik tanah.

Sehingga ke hari ini Johari gagal untuk menghimpunkan kesemua pemilik ini. Apatah lagi membentangkan pelan pembangunan.

Terdapat usaha sebilangan kecil pewaris untuk menubuhkan Pertubuhan Pemilik Dan Pewaris Tanah (PPTWT) bertujuan menghimpunkan para pewaris. Namun ia hanya melibatkan sebilangan kecil dan tidak kesemuanya.

Tidak dinafikan terdapat usaha retorik Johari untuk membangunkan Kampung Baru. Beberapa majlis pembentangan pelan kononnya melibatkan para pemilik tanah pernah dibuat. Namun, sehingga ke hari ini pelan itu masih gagal direalisasikan.

Yang adalah hanyalah janji-janji manis menjelang pilihan raya untuk mengekalkan Umno dan BN di kerusi ini. Hakikatnya, Umno dan BN gagal menguruskan Parlimen Titiwangsa dengan baik.

Isu pokok di Kampung Baru adalah status geran, pemilik dan pewaris. Jika isu asas ini gagal diselesaikan, bagaimana boleh pembangunan direalisasikan?

Isu parkir pula sememangnya menjadi isu turun temurun di Kampung Baru.

Meminta supaya warga Kampung Baru berbangga setiap kali kesesakan kerana kehadiran pengunjung yang ramai, adalah perkara paling lucu yang boleh dihujahkan oleh pimpinan Umno dan BN.

Hakikatnya, masalah ini sangat menyukarkan penduduk dan ahli Parlimen gagal menanganinya. Setidak-tidaknya ahli Parlimen boleh mencadangkan alternatif untuk sebuah kawasan parkir di pintu gerbang.

Sebaliknya, bukan alternatif yang dipersembahkan, tetapi mereka meminta supaya penduduk Kampung Baru berbangga kerana menjadi kawasan tumpuan.

Justeru, saya meminta para pengundi menilai semula prestasi ahli Parlimen BN sebelum membuat keputusan. Ternyata retorik menjadi permainan mereka dan saya berharap agar pengundi khususnya di titiwangsa tidak tertipu sekali lagi. – 14 Mac, 2018.

* Syed Badli Shah Syed Osman adalah Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional serta anak jati Kampung Baru dan Titiwangsa. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen