Mahkamah Persekutuan khilaf tidak benar peguam Najib tarik diri, kata Shafee


Noel Achariam

Kata Shafee keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu itu memberi kesan serius kepada Najib.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

MAHKAMAH Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang peguam Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik daripada menarik diri daripada kes SRC International itu, tahun lalu kata peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya ia merupakan ‘representasi paksa’ oleh peguam yang tidak efektif dan tidak bersedia dengan hanya bertindak secara pura-pura.

“Apa yang dilakuan Mahkamah Persekutuan adalah tamparan buat anak guam saya dengan tidak membenarkan penangguhan kerana peguamnya (Hisyam) tidak bersedia.

“Mahkamah Persekutuan juga membenarkan peguam yang tidak efektif untuk meneruskan (bela Najib) yang membawa kepada ketidakadilan perbicaraan serta menentang hak asasi manusia,” katanya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini.

Prosiding semakan dipohon Najib memasuki hari kelima untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang mensabitkannya bersalah dan dijatuhkan hukuman membabitkan kes SRC Internasional.

Dalam persidangan akhir, Najib melantik Hisyam mengetuai pasukan pembelaan yang memohon penangguhan untuk beliau dapat melakukan persediaan terhadap kes itu.

Namun mahkamah menolak penangguhan itu yang menyebabkan Hisyam memohon menarik diri daripada mewakili Najib. Namun perkara itu juga ditolak mahkamah.

Ketika Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membacakan keputusan panel hakim memaklumkan mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya

“Peguam boleh menarik diri apabila dapat menunjukkan alasan yang mencukupi untuk berbuat demikian. Kami dengan ini sebulat suara berpandangan bahawa berdasarkan fakta, peguam gagal untuk mendedahkan alasan yang mencukupi untuk menarik diri.

“Oleh itu permohonan ini ditolak dan peguam bela kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan,” katanya ketika itu.

Shafee berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberi kesan serius kepada Najib.

“Ini tuduhan yang serius di mana beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

“Apabila Mahkamah Persekutuan memaksa peguam untuk kekal menentang  pelanggarannya, ini tidak betul.

“Peguamnya (Hisyam) tidak cekap kerana beliau kurang persediaan,” kata Shafee.

Prosiding bersambung esok. – 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen