Permohonan Najib singkir Tengku Maimun tiada merit, kata Sithambaram


Noel Achariam

Pendakwa Raya V Sithambaram berkata hantaran dimuat naik oleh suami Tengku Maimun Tuan Mat di Facebook mengenai Najib Razak pada 2018 tidak akan mempengaruhi ketua hakim negara itu dalam mempengerusikan prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari 2023.

PERMOHONAN Najib Razak untuk menyingkirkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat daripada mempengerusikan prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu ditolak kerana tiada merit, kata Pendakwa Raya V Sithambaram.

Hantaran yang dimuat naik oleh suami Tengku Maimun, Zamani Ibrahim di Facebook mengenai Najib pada 2018 tidak akan mempengaruhi ketua hakim itu mengetuai prosiding tersebut kerana ia tiada kaitan langsung dengan sabitan dalam kes SRC.

“Mereka (peguam bela) kata hantaran di Facebook itu mungkin akan mempengaruhi hakim (Tengku Maimun).

“Hakikatnya SRC adalah syarikat bebas berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan.

“Tidak mungkin hantaran tersebut akan mempengaruhi pemikiran ketua hakim negara membicarakan kes,” kata Sithambaram di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Hari ini masuk hari kelima Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib menyemak semula keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lalu, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda yang dijatuhkan ke atas bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International .

Permohonan dikemukakan pada saat akhir sebelum panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir Najib. 

Tengku Maimun ketika menolak permohonan Najib untuk menyingkirkan beliau ketika itu berkata mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan kaitan hantaran Facebook oleh suaminya dan kes SRC. 

“Tindakan menggugurkan seorang hakim adalah bahaya sebenar berlakunya berat sebelah. Pada pendapat saya, ujian berhubung perkara ini belum dibuktikan. Hantaran Facebook oleh suami saya tidak terjumlah kepada bahaya sebenar berlakunya berat sebelah,” katanya.

Hantaran Zamani di Facebook adalah berkenaan kekalahan Barisan Nasional ketika itu di bawah pimpinan Najib dalam pilihan raya umum 2018. – 27 Februari 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen