Rakyat Palestin terbunuh serangan pendatang Israel di Tebing Barat


Agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan serangan amuk juga berlaku di bandar Hawara, Burin dan Einbus di utara Tebing Barat. – Gambar AFP, 27 Februari, 2023.

BERATUS-RATUS pendatang Israel bertindak melancarkan serangan balas  di Tebing Barat pada malam tadi, dengan membakar rumah, kedai, kereta dan ladang selepas serangan Palestin membunuh dua warga Israel.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera, lapor Xinhua.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan Sameh Al-Aqtash, 37, dari bandar Nablus, meninggal dunia selepas ditembak di kampung Zatara, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan serangan amuk juga berlaku di bandar Hawara, Burin dan Einbus di utara Tebing Barat.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Tebing Barat dalam satu kenyataan mendedahkan lebih 100 rakyat Palestin cedera semasa pertempuran dengan tentera dan pendatang Israel.

Radio Israel mendakwa kira-kira 400 pendatang berhimpun berhampiran Nablus dan membakar 30 kediaman dan 25 kenderaan, sambil menambah tentera Israel menghantar lebih ramai tentera ke kawasan itu untuk memulihkan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Presiden Palestin mengecam serangan terbabit dan meminta kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rusuhan itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan selain tentera, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel dan Polis Sempadan dikerah ke kawasan itu untuk menghentikan “rusuhan ganas”.

Serangan bermula beberapa jam selepas pegawai kanan keselamatan Israel dan Palestin bertemu di pusat peranginan Aqaba di Laut Merah Jordan dan bersetuju mengurangkan keganasan yang semakin meningkat di rantau itu.

Dua beradik Yahudi dilaporkan maut selepas dilanggar seorang rakyat Palestin di Har Bracha, selatan bandar Nablus.

Serangan itu adalah siri ketegangan terbaru yang semakin memuncak antara kedua-dua pihak. – Bernama, 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen