Dr Mahathir akui nasib masyarakat India terabai 


Chan Kok Leong Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan mengabaikan masyarakat India ketika berucap pada majlis anjuran Hindraf yang diadakan di Kuala Lumpur.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mac, 2018. 

DR Mahathir malam ini mengakui mengabaikan nasib masyarakat India yang miskin ketika beliau menjadi perdana menteri dan ia katanya memberi kesan hingga kini.

“Negara dalam keadaan baik dan ekonomi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan kita sangkakan semua orang gembira.

“Pembangkang sebelum ini telah menyuarakan masalah ini. Tetapi ketika saya dalam kerajaan, saya terlalu sibuk menentang pembangkang berbanding mendengarnya.

“Selepas saya meletakan jawatan, dengan harapan kerajaan akan menjadi lebih baik, tetapi apa yang saya pelajari ia adalah satu masalah,” kata pemimpin berusia 92 tahun itu dalam ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata bukan mudah untuk menguruskan negara berbilang kaum dan salah satu pencapaian Malaysia adalah keharmonian kaum “tanpa konflik perkauman besar walaupun terdapat kepelbagaian dalam negara”.

Katanya walaupun Melayu merupakan majoriti di negara ini, kerajaan cuba untuk berlaku adil kepada semua pihak.

“Tetapi masyarakat India seringkali merasa dipinggirkan dan merasakan banyak tumpuan diberikan hanya kepada Melayu. Saya rasa wakil kaum India dalam kerajaan tidak memberi penekanan terhadap isu membabitkan masyarakat India,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu pada program “Sepetang bersama Dr Mahathir Mohamad” yang dianjurkan oleh Hindraf.

Dan Dr Mahathir berkata beliau sering dipersalahkan kerana tidak melakukan secukupnya kepada masyarakat India ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri.

“Tetapi kemudian saya dapat tahu MIC terbitkan buku berkenaan sumbangan saya kepada komuniti India,” kata Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy berkata menjadi harapan kepada akar umbi masyarakat India untuk melihat wakil dari komuniti India dan rakan kongsi pakatan India dalam Pakatan Harapan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah meminta masyarakat India untuk mengundi BN pada PRU13, namun kali ini beliau meminta mereka untuk mengundi PH kerana BN gagal menunaikan janji mereka.

“Perdana menteri telah menipu rakyat dan masyarakat India Malaysia. Beliau mengkhianati masyarakat India di Malaysia.

“Mantra kami kini ialah kosong undi kepada BN,” kata Waythamoorthy dalam ucapan alu-aluannya.

Waythamoorthy perah dilantik sebagai timbalan menteri dalam kabinet perdana menteri pada Mei 2013 namun meletakkan jawatan lapan bulan kemudian pada Februari tahun berikutnya.

Peguam berusia 52 tahun itu meletakkan jawatan selepas mendakwa oentadbiran Najib “melengah-lengahkan” untuk menunaikan janjinya membantu masyarakat India yang miskin di Malaysia. – 14 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen