WHO rayu AS$392 juta bantuan untuk Yaman


Konflik yang berlarutan di Yaman mencetuskan antara krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan jutaan penduduk kelaparan. – Gambar AFP, 27 Februari, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) merayu bantuan AS$392 juta menjelang persidangan penderma yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva bagi mengelakkan “potensi kemusnahan” sektor kesihatan di Yaman yang dilanda perang.

Gesaan itu dibuat memandangkan negara itu berdepan tragedi kemanusiaan terburuk di dunia selepas perang saudara berlanjutan selama lapan tahun membabitkan pemberontak Huthi yang disokong Iran dan tentera kerajaan yang memperoleh sokongan Arab Saudi.

Menurut WHO, hampir separuh daripada semua kemudahan kesihatan di Yaman hanya berfungsi sebahagiannya atau langsung tidak boleh digunakan kerana kekurangan kakitangan, dana, elektrik, ubat-ubatan, bekalan dan peralatan.

“Yaman memerlukan sokongan segera dan teguh… untuk mengelakkan potensi keruntuhan sistem kesihatannya.

“Pembiayaan baharu AS$392 juta diperlukan untuk memastikan kemudahan kesihatan dapat terus menyediakan perkhidmatan kepada 12.9 juta penduduk di sini,” kata wakil agensi Yaman, Adham Abdel Moneim Ismail dalam satu kenyataan.

Menurut Ismail, mereka yang memerlukan bantuan termasuk 540,000 kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun yang menghadapi kekurangan zat makanan akut yang teruk dengan mereka berdepan risiko kematian.

Rayuan itu dibuat sehari sebelum mesyuarat penderma dianjurkan PBB, Switzerland dan Sweden.

PBB menganggarkan 21.6 juta atau dua pertiga daripada penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan pada tahun ini.

Untuk rekod, konflik yang berlarutan di negara itu mencetuskan antara krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan jutaan penduduk kelaparan. – AFP, 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen