Mana penyata hutang kami, tanya peneroka Felda


Diyana Ibrahim

Wakil peneroka berkata mereka memahami keputusan kerajaan semasa tidak meneruskan pelupusan hutang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

KEPUTUSAN kerajaan menghentikan pelupusan hutang peneroka Felda, yang diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin, bukan isu besar buat peneroka.

Walaupun sedikit kecewa dengan keputusan itu, isu yang lebih utama bagi mereka adalah penyata hutang yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini, kata persatuan peneroka.

Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda, A Rashid Ridha berkata mereka memahami keputusan kerajaan tidak meneruskan pelupusan hutang itu kerana surat Felda kepada peneroka juga menyebut tempoh pelarasan hutang itu antara akhir Disember 2019 hingga 2021.

“Bagi saya kenyataan kerajaan jelas, yang mereka tidak akan teruskan program itu sebab ia sudah selesai.

“Pelarasan pinjaman yang dibuat kerajaan dulu bukan melibatkan jumlah keseluruhan tapi hanya sebahagian sahaja… baki hutang masih perlu dibayar oleh kami.

“Tapi yang jadi isu kami sekarang ini adalah peneroka sampai sekarang tidak diberikan penyata hutang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rashid berpendapat kerajaan terdahulu melupuskan hutang peneroka kerana tidak mahu mereka terus terjerut dengan isu hutang lama.

“Peneroka ini sebenarnya dibebani hutang. Mereka (Felda) kata uruskan ladang kami kemudian caj kepada peneroka sedangkan ladang itu tiada hasil.

“Ia jadi masalah pertikaian antara Felda dengan peneroka dulu. Apabila kerajaan lepas kata nak hapus hutang jadi peneroka ini pun tutup matalah, setuju dengan syarat tersebut,” katanya.

Rashid mengulas kenyataan makluman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak dapat meneruskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah lebih RM8 bilion kerana kesan kewangan yang besar kepada agensi itu.

Selepas diumumkan oleh Muhyiddin pada Julai 2021 semasa jadi perdana menteri, sebanyak 91,782 atau hampir 82% peneroka bersetuju dan menandatangani pelarasan pinjaman peneroka bawah program Wajar Felda.

Peneroka ada menerima penyata hutang ketika Felda menyelaraskan hutang mereka tetapi jumlah yang dikenakan sangat meragukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

Inisiatif itu melibatkan jumlah keseluruhan RM12.1 bilion.

Susulan kenyataan Azalina, pengerusi Felda Idris Jusoh menjelaskan pelupusan hutang itu bukan dibatalkan kerana kerajaan sudah menunaikan janji melunaskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion pada 2021.

Pelarasan pinjaman itu bertujuan mengukuhkan konsep kebersamaan antara peneroka dan Felda, dengan syarat penerimaan yang ditetapkan adalah peneroka harus menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda dan menghantar hasil kepada agensi itu, katanya.

Jumlah hutang yang meragukan

Menurut Rashid, peneroka ada menerima penyata hutang ketika Felda menyelaraskan hutang mereka tetapi jumlah yang dikenakan kepada peneroka sangat meragukan.

“Penyata hutang sebelum ini tidak ada, tiba-tiba mereka keluarkan kata peneroka hutang sampai beratus ribu yang kami sendiri tidak tahu betul atau tidak.

“Kami tak boleh nak lawan sebab memang sebelum ini peneroka tak ada penyata. Sebab itu saya kata bukan soal kerajaan hapus hutang atau tidak tapi peneroka nak tahu hutang sebenar.

“Kami tak nak kerajaan hapus berapa bilion tapi sampai sekarang peneroka tak tahu hutang berapa, tiap bulan jumlah yang dipotong… kami tak tahu sebab kami tidak menerima penyata,” katanya.

Selain penyata hutang, peneroka Felda juga berdepan tekanan kerana tidak menerima gaji akibat pertukaran sistem pembayaran secara talian sejak Disember lalu yang menggantikan kaedah manual di pejabat pengurusan sebelum ini.

“Sistem ini hanya guna satu akaun sahaja. Kita sedia maklum ada tanah yang dikongsi oleh keluarga, adik-beradik. Ada kes suami isteri bercerai dan Felda meletakkan pembayaran gaji bagi akaun suami sahaja. Isteri tidak dapat.

“Ada juga yang memang tak dapat gaji lagi. Dari Disember sampai sekarang mereka tidak terima,” katanya.

Rashid berharap pihaknya dapat bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menghuraikan masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda.

Kerajaan tidak dapat meneruskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah lebih RM8 bilion kerana kesan kewangan yang besar kepada agensi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

Katanya, pertemuan itu sudah ditetapkan tetapi tertangguh kerana lawatan Anwar ke Indonesia baru-baru ini.

“Kami tengah tunggu tarikh baru berjumpa dengan perdana menteri, sebab isu Felda ini sudah makin melarat,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Kampung (MPKK) Felda Sungai Tengi di Selangor, Zainal Abidin pula beranggapan peneroka akan terus ditindas sekiranya betul kerajaan tidak meneruskan pelupusan hutang itu.

“Kalau betul ia dibatalkan ia akan jadi satu kesedihan kepada peneroka sebab ia diumumkan oleh kerajaan lepas dan ia sudah diluluskan dan sekarang nak dimansuhkan.

“Kami sebenarnya belum dapat maklumat. Apabila berita itu keluar memang ramai peneroka merungut, tertanya-tanya kenapa berlaku begini pula.

“Jadi kami nak tunggulah dua tiga hari ini mungkin ada penjelasan daripada pihak Felda. Tapi kalau berita ini sahih ia memang mengundang kekecewaan. Itulah nasib kami peneroka yang makin hari makin ditindas,” katanya.

Zainal juga mengesahkan peneroka tidak menerima penyata hutang daripada pihak pengurusan Felda dan kerana itu tidak semua bersetuju dengan program penyelarasan pinjaman semula mereka.

“Apabila ada program ini pun (pelupusan hutang) peneroka masih tak dapat penyata.

“Peneroka nak tahu pemotongan apa yang dibuat, butirannya dan berapa hutang yang ada selepas dipotong, tapi ia tidak jelas kerana tidak ada penyata.

“Contoh, kalau hutang peneroka ada RM200,000 lepas dimansuhkan kami nak tahu berapa baki yang kami ada dan bila pemotongan dibuat, jadi nampaklah hutang kami berkurang.

“Itu sebenarnya yang diminta peneroka,” katanya. – 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen