Kumpulan penuntut gesa kerajaan hapuskan akta universiti


Angie Tan

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 didakwa menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan penuntut kolej dan universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

GABUNGAN pelajar universiti awam mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang didakwa menyekat kebebasan bersuara difikirkan semula, walaupun ada beberapa perubahan dibuat selama ini.

Perikatan Pergerakan Pelajar Baharu Malaysia (NESA) berkata sebarang rancangan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuat perubahan kepada beberapa artikel dalam akta itu tidak akan mengubah isu berkaitan kebebasan bersuara dan autonomi kolej.

AUKU sudah dipinda tujuh kali sejak ia diwartakan pada 1971. Pindaan terakhir adalah pada 2019.

Bagi kumpulan itu, apa yang penting adalah memansuhkan AUKU dan melaksanakan undang-undang baharu yang akan membuka ruang perbahasan dan memberi kebebasan kepada institusi pengajian tinggi.

Kenyataan kumpulan pelajar itu dibuat selepas kerajaan berkata minggu lalu mereka mahu mengekalkan AUKU ketika sidang dewan rakyat di Parlimen.

Namun kerajaan menambah ia sedang mencari jalan untuk menambah baik akta itu supaya pelajar universiti mempunyai lebih kebebasan untuk menyertai aktiviti politik.

“Kementerian berpandangan akta sedia ada masih relevan dalam menguatkuasakan fungsinya terutama bagi perkara berkaitan tadbir urus universiti.

“Pemansuhan AUKU akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya semasa peralihan akta.

Kerajaan sedang mencari jalan untuk menambah baik AUKU supaya pelajar universiti lebih bebas untuk menyertai aktiviti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

“Malah, proses pemansuhan ini memerlukan kajian lanjut memandangkan ia membabitkan beberapa akta lain yang turut berkuat kuasa, contohnya Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) serta beberapa akta lain yang diselia di bawah kementerian atau agensi lain.

“Bagaimanapun, kementerian sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan dan pandangan untuk menambah baik akta sedia ada,” katanya dalam jawapan kepada Parlimen.

Setiausaha NESA Liau Pin Chun berkata AUKU amat mempengaruhi autonomi penuntut kolej.

“Kumpulan pelajar tidak dibenarkan memegang wang. Tegasnya, jika sesebuah kumpulan itu ingin mengutip yuran keahlian, ia juga menyalahi undang-undang universiti.

“Di universiti, semua wang akan disimpan di bahagian kewangan universiti dan kemudian kumpulan pelajar perlu mendapatkan kebenaran untuk menggunakan wang yang mereka perlukan,” kata Liau.

Beliau percaya penuntut sepatutnya berhak untuk mengendalikan kewangan mereka sendiri tanpa melalui bahagian kewangan.

“Ini bermakna pelajar tidak boleh menggunakan wang secara bebas, kerana jika ingin memohon wang melalui bahagian kewangan, mereka perlu membayar menggunakan duit poket sendiri sebelum mendapat bayaran balik menerusi tuntutan bil, namun prosesnya amat panjang hingga menjejaskan aktiviti mereka.” – 27 Februari, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen