Kerajaan Selangor sedia dedah laporan tanah runtuh Batang Kali, kata MB


Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lalu mengorbankan 31 nyawa termasuk 13 kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

KERAJAAN negeri Selangor bersedia mendedahkan laporan penuh tragedi tanah runtuh kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor kepada waris mangsa sekiranya menerima permohonan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata laporan itu sudah disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains namun hanya boleh didedahkan atas permintaan waris.

“Kalau ada permohonan, kita akan boleh keluarkan secara bertulis. Insya-Allah, saya juga akan bawa ke mesyuarat exco dalam masa terdekat untuk kenal pasti punca kuasanya,” kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran inisiatif pendapatan rakyat (IPR) di Ampang, Selangor hari ini.

Semalam, media melaporkan keluarga mangsa menggesa kerajaan supaya segera mendedahkan hasil laporan siasatan insiden itu.

Malah mereka juga mahu kerajaan bertindak segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung tragedi yang mengorbankan seramai 31 mangsa termasuk 13 kanak-kanak.

Tragedi pada kira-kira jam 2.30 pagi 16 Disember itu berlaku disebabkan runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan. – Bernama, 26 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen