Ahmad Maslan tak jadi tanding naib presiden Umno


Ahmad Maslan membatalkan hasrat bertanding merebut jawatan naib presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan mengubah keputusan dengan mencabar bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad bagi jawatan ketua bahagian parti itu di Pontian, menurut laporan.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Ahmad Ahmad membatalkan hasrat menyertai pertandingan jawatan naib presiden, yang kini sudahpun disertai tiga pemimpin parti dari Johor.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan itu dengan mengambil kira peluang tipis untuk menang sebagai calon keempat dari negeri itu.

“Dari segi layak, saya memang layak, kerana telah lama dalam Umno, pernah menjadi ketua penerangan Umno dan sekarang setiausaha agung Umno.

“Saya perlu melihat realiti, jika terlalu ramai dari satu negeri, peluang untuk menang tipis dan ia akan memecah undi.

“Pihak di luar sana pun akan melihat mengapa ramai sangat calon dari Johor,” katanya seperti dipetik portal itu.

Selain jawatan ketua bahagian Pontian, Ahmad juga akan bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, katanya.

Selain Hasni, dua lagi calon dari Johor terdiri dari ahli Parlimen yang juga anggota Kabinet dari Johor – Mohamed Khaled Nordin dan Azalina Othman Said.

Khaled yang mempertahankan jawatan naib presiden merupakan menteri pengajian tinggi manakana Azalina di portfolio undang-undang dan reformasi institusi di Jabatan Perdana Menteri.

Ia menjadikan jumlah lapan pesaing bagi jawatan naib presiden, termasuk penyandang Mahdzir Khalid dan ketua Umno Titiwangsa Johari Abdul Ghani.

Tiga lagi merupakan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail,  Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Ahli MKT Reezal Merican Naina Merican.

Seorang lagi penyandang, perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob masih belum mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah pula mengumumkan menarik diri dari pertandingan. – 26 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen