SEORANG jeneral Iran memberi amaran yang negaranya masih mahu membunuh bekas presiden AS Donald Trump dan setiausaha negaranya Mike Pompeo sebagai balas dendam kerana pembunuhan komander utama mereka, Qasem Soleimani.
Tehran berulang kali berikrar akan membalas dendam pembunuhan Soleimani, ketua operasi asing Pengawal Revolusi Islamik Iran, dalam satu serangan dron AS di lapangan terbang Baghdad pada Januari 2020.
“Kami harap kami boleh bunuh Trump, Pompeo, (bekas jeneral AS Kenneth) McKenzie dan komander tentera yang memberikan arahan bunuh Soleimani,” kata Komander Unit AeroAngkasa Pengawal Jeneral Amirali Hajizadeh, menerusi saluran televisyen pada Jumaat.
Trump mengarahkan serangan itu dalam tindakan balas kepada serangan ke atas kepentingan AS di Iraq. Pentadbirannya menyalahkan serangan itu kepada Iran.
Beberapa hari kemudian, Iran membalas serangan dengan menembak peluru berpandu ke pangkalan udara tentera AS di Iraq yang menempatkan tenteranya. Tiada mangsa terbunuh tetapi Washington berkata puluhan anggota tenteranya mengalami kerosakan otak.
AS dan sekutunya berulang kali meluahkan kebimbangan tentang program peluru balistik Iran serta peranan “tidak stabilnya” di rantau Timur Tengah.
Menerusi wawancara televisyen itu, Hajizadeh berkata Iran “kini mampu menembak kapal AS dengan jarak 2,000 km”.
“Kami meletakkan had 2,000km kerana hormatkan Eropah dan berharap mereka menunjukkan yang mereka layak menerima penghormatan ini,” kata jeneral Iran itu lagi. – AFP, 26 Februari, 2023.
Komen