PRESIDEN Kelab Bola Sepak Zamalek dipenjara sebulan pada Sabtu kerana “menghina” presiden kelab lawan, Ah-Ahly, di Kaherah, menurut sumber kehakiman.
Al-Ahly dan Zamalek, dua kelab bola sepak terbesar negara itu dan antara paling berjaya di benua Arab adalah seteru dengan sejarah panjang termasuklah pergaduhan antara penyokong mereka.
Sumber kehakiman memberitahu AFP yang Presiden Zamalek Mortada Mansour,70, dipenjara pada Sabtu.
Dia pada mula dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana menghina Mahmoud al-Khatib- presiden Al-Ahly dan bekas pemain utama kelab- serta keluarganya dalam satu video diterbitkan di media sosial Zamalek.
Tetapi pada Ogos 2022, hukuman itu dikurangkan selepas rayuan kepada sebulan penjara dan denda 500 euro.
Mansour memuatnaik hantaran di Facebook sebelum memasuki penjara, menulis “singa tidak takut mati atau penjara”.
Bekas majistret dan ahli parlimen, Mansour sering menjadi tajuk berita.
Dia mempunyai sejarah panjang berseteru dengan Al-Ahly dan pernah melakukan serangan fizikal ke atas rakan sejawatnya.
Kekebalan parlimen dimilikinya membolehkan dia mengelak tindakan perundangan walaupun pelbagai laporan dibuat kerana menghina dan memfitnah.
Pada 2007, dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah jenayah di Kaherah kerana “menghina” pegawai mahkamah dan memberikan tuduhan palsu korupsi kepada mereka.
Zamalek belum mengumumkan sama ada mereka akan menggantikan presiden. – AFP, 26 Februari, 2023.
Komen