3 letupan di maraton Cameroon cederakan 18 orang


Cameroon terheret ke dalam konflik kumpulan pemisah disebabkan perbezaan bahasa antara wilayah. – Gambar AFP, 26 Februari, 2023.

TIGA letupan pada permulaan acara maraton mencederakan 18 orang pada Sabtu di wilayah berbahasa Inggeris di Cameroon yang terheret ke dalam konflik kumpulan pemisah, kata pegawai.

Letupan itu menyasarkan maraton tahunan “Race of Hope” di Buea, 70 km dari ibu kota negara itu, Douala.

“Lapan belas orang cedera, seorang atlit dan 17 penonton,” kata Menteri Sukan Narcisse Mouelle Kombi kepada AFP.

“Terdapat beberapa cubaan gangguan dengan tiga letupan,”kata Gabenor Bernard Okalia Bilai.

“Letupan itu tidak menjejaskan perlumbaan,” tambahnya.

Kumpulan pemisah Ambazonian Defence Forces mengaku bertanggungjawab ke atas letupan itu dalam video yang disebarkan menerusi WhatsApp, berkata mereka menyasarkan tentera yang melindungi atlit.

Wilayah di utara dan selatan Cameroon dengan penduduk berbahasa Inggeris terheret ke dalam konflik sejak kumpulan pemisah mengisytiharkan kemerdekaan pada 2017 selepas berdekad lama ditindas di negara dengan majoriti penduduk berbahasa Perancis itu.

Presiden Paul Biya yang mentadbir negara tengah Afrika itu secara kuku besi selama 40 tahun menolak untuk memberikan autonomi lebih luas, sebaliknya bertindak balas dengan operasi ketenteraan.

Konflik di negara bekas jajahan Perancis itu sudah mengorbankan lebih 6,000 orang dan memaksa sejuta orang lagi menjadi pelarian, menurut badan pemikir International Crisis Group.

PBB berkata kedua-dua belah pihak melakukan jenayah terhadap orang awam.

Kedutaan AS di Cameroon mengecam letupan itu menerusi Twitter dan mengharapkan semua mangsa supaya segera pulih.

Lebih 450 atlit mengambil bahagian dalam acara maraton itu menurut dokumen rasmi dilihat AFP, dengan titik penamat larian terletak di Gunung Cameroon, gunung berapi aktif dan tempat tertinggi di negara itu. – AFP, 26 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen