Rakyat Israel protes reformasi kehakiman Netanyahu


Wanita memakai kostum drama terkenal antara puluhan ribu rakyat Israel turun ke jalan membantah reformasi kehakiman yang disifatkan pengkritik dan hakim sebagai ancaman kepada demokrasi. – Gambar AFP, 26 Februari, 2023.

RAKYAT Israel turun ke jalanan mengadakan protes mega yang memasuki minggu kelapan berturut-turut pada Sabtu bagi membantah cadangan reformasi badan kehakiman dibuat kerajaan yang dianggap pengkritik sebagai mengancam demokrasi.

Media Israel melaporkan puluhan ribu orang turun ke jalan selepas wakil rakyat mereka minggu ini bertegas mahu meluluskan reformasi yang digerakkan pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa pada Disember lalu.

Netanyahu yang sedang dibicarakan berkaitan tuduhan korupsi mengetuai kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel.

Pengkritik termasuk Presiden Mahkamah Agung Esther Hayut mengecam reformasi itu, menyifatkannya sebagai serangan ke atas kebebasan badan kehakiman.

Beberapa penentang Netanyahu juga mengaitkan cadangan itu dengan perbicaraan kes rasuah, penipuan dan pecah amanah yang sedang dihadapinya. Beliau menafikan semua tuduhan dan kaitan reformasi dengan kes mahkamahnya.

Netanyahu membentangkan reformasi utama kehakiman bagi mengembalikan keseimbangan antara cabang kerajaan, berhujah yang hakim sedia ada mempunyai terlalu banyak kuasa dengan wakil rakyat yang dipilih.

Perundangan itu akan memberi lebih banyak hak kepada kerajaan dalam jawatankuasa pemilihan hakim serta menafikan hak Mahkamah Agung untuk membatalkan sebarang pindaan ke atas Undang-Undang Asas yang mendasari perlembagaan Israel.

Cadangan lain termasuklah memberikan kuasa kepada 120 ahli Parlimen untuk menolak keputusan Mahkamah Agung dengan majoriti mudah 61 undi.

Penganalisis berkata klausa dicadangkan boleh membenarkan wakil rakyat membatalkan pertuduhan korupsi ke atas Netanyahu sekiranya Parlimen mengundi untuk menyokongnya dan Mahkamah Agung menyabitkannya bersalah.

Pada Selasa, Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk mendesak Israel menangguhkan perundangan itu, berkata perubahan yang dicadangkan “akan secara drastik mengurangkan keupayaan badan kehakiman untuk mengangkat hak individu dan kedaulatan undang-undang.” – AFP, 26 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen