4 ditahan disyaki curi kereta, menyamar penjawat awam


TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lalu dan awal pagi ini, disyaki terbabit kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata semuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi penganggur.

Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Februari, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang, didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

“Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta itu manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan semua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain.

“Semua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen