PASUKAN keselamatan Venezuela telah menahan Miguel Rodriguez Torres, bekas Menteri Dalam Negeri dan Ketua Agensi Perisikan kerana didakwa terlibat dalam serangan bersenjata ke atas beberapa institusi awam tahun lepas.
Menurut Kementerian Komunikasi Venezuela, penahanan beliau adalah sebahagian daripada operasi untuk mematahkan “rancangan-rancangan agresif dan ganas” terhadap kerajaan.
“Beliau telah diberkas dan diserah kepada sistem keadilan,” menurut kenyataan itu.
Rodriguez, seorang mejar jeneral tentera yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran mendiang Hugo Chavez dan Presiden Nicolas Maduro, telah ditahan ketika menghadiri satu majlis di Hotel Presiden di Caracas oleh beberapa ejen Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Bolivarian, atau Sebin.
Meskipun alasan penahanan belum disahkan, Rodriguez telah dikaitkan dengan Oscar Perez, pemimpin sel pembangkang bersenjata yang melancarkan beberapa serangan ke atas bangunan dan institusi kerajaan, termasuk Mahkamah Agung Keadilan.
Susulan serangan itu, Maduro berkata seorang bekas juruterbang yang bekerja dengan Rodriguez kini disiasat berkaitan hubungannya dengan DEA (Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah) dan CIA (Agensi Perisikan Pusat).
Rodriguez telah menafikan sebarang kaitan dengan Perez, yang terbunuh semasa bertempur dengan pasukan keselamatan pada Januari.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan Venezuela telah menahan beberapa pegawai atasan atas dakwaan rasuah. – Bernama, 14 Mac, 2018.
Komen