Pakistan buka semua sempadan utama dengan Afghanistan


Pakistan membuka semula sempadan dengan Afghanistan bagi perdagangan, transit dan pejalan kaki. – Gambar fail EPA, 25 Februari, 2023.

PAKISTAN membuka semula lintasan sempadan utama dengan negara jiran Afghanistan kepada semua jenis lalu lintas pada Sabtu, lapor agensi berita Anadolu.

Sempadan Torkham yang menghubungkan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan dan wilayah Nangarhar timur Afghanistan ditutup secara unilateral (sepihak) oleh pentadbiran sementara Taliban minggu lalu.

Bagaimanapun, pentadbiran Afghanistan membukanya semula pada Khamis tetapi pihak berkuasa Pakistan enggan berbuat demikian, kata seorang pegawai tempatan ketika dihubungi agensi Anadolu.

“Petang tadi, kami membuka sempadan buat sementara waktu untuk warga Pakistan yang terperangkap di sebelah Afghanistan.

“Kami akhirnya membuka semula sepenuhnya sempadan untuk perdagangan, transit dan pejalan kaki dari kedua-dua belah pihak pagi ini,” katanya.

Ahad lalu, Kabul menutup secara unilateral lintasan sempadan itu susulan kejadian tembak-menembak antara kedua-dua pasukan sempadan pada Isnin.

Perkembangan terbaharu itu berlaku tiga hari selepas Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Asif bertemu pemangku Timbalan Perdana Menteri Afghanistan Mullah Abdul Ghani Baradar dan pemangku Menteri Pertahanan Mullah Mohammad Yaqoob di Kabul pada Rabu.

Pakistan dan Afghanistan berkongsi 18 lintasan sempadan termasuk yang paling sibuk iaitu di Torkham dan Chaman yang menghubungkan wilayah Balochistan di barat daya Pakistan dan wilayah Kandahar di selatan Afghanistan.

Pertempuran antara kedua-dua tentera di sempadan sudah lama berlaku walaupun selepas Taliban menawan semula Afghanistan pada Ogos 2021.

Disember lalu sekurang-kurangnya enam orang awam Pakistan terbunuh dalam satu pertempuran sengit di sepanjang sempadan Chaman.

Selain aktiviti perdagangan, ribuan orang yang kebanyakannya warga Afghanistan menyeberang di kedua-dua lintasan itu setiap hari untuk tujuan perubatan dan buruh.

Kedua-dua jiran itu berkongsi sempadan sepanjang hampir 2,670 kilometer. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen