Model Hong Kong dibunuh, dikerat kerana perbalahan duit


Pembunuhan Abby Choi dipercayai ada kaitan dengan pertikaian mengenai HK$100 juta (RM56 juta), menurut laporan media tempatan. – Gambar Instagram, 25 Februari, 2023.

POLIS Hong Kong membuat tiga tangkapan atas dakwaan bunuh dan kerat model berusia 28 tahun selepas perbalahan duit dengan keluarga bekas suaminya, kata pihak berkuasa pada Sabtu.

Sebahagian mayat pempengaruh terkenal Abby Choi, yang minggu lalu muncul di muka depan digital majalah fesyen L’Officiel Monaco, ditemui di sebuah rumah kampung yang didirikan sebagai tapak penyembelihan, kata polis.

“Kami masih mencari kepala,” kata penguasa Alan Chung kepada pemberita, selepas mendedahkan anggota badan seorang wanita ditemui di dalam peti sejuk.

Rumah itu dilengkapi gergaji elektrik dan pengisar daging yang digunakan untuk mengisar daging manusia, kata Chung.

“Dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia ditinggalkan di tempat kejadian,” katanya.

Bapa, ibu dan abang kepada bekas suami Choi ditangkap dan akan menghadapi tuduhan membunuh, tambahnya.

Bekas suami mangsa masih bebas.

“Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai banyak pertikaian kewangan membabitkan jumlah yang amat besar.

“Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk membunuh,” katanya.

Choi kali pertama dilaporkan hilang pada Rabu.

Dia didakwa kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga bekerja sebagai pemandunya. Polis berkata, keluarga itu sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat. – AFP, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen