18,000 isi rumah miskin tegar dapat Bakul Rahmah, kata menteri


Salahuddin Ayub berkata ia membabitkan 18,000 isi rumah miskin tegar yang menerima Bakul Rahmah berisi barangan keperluan asas bernilai RM100. – Gambar Facebook, 25 Februari, 2023.

INISIATIF Bakul Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan miskin tegar di seluruh negara dijangka bermula awal Ramadan ini.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata pemberian itu membabitkan 18,000 daripada 37,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara, yang akan menerima Bakul Rahmah berisi barangan keperluan asas bernilai RM100.

“Fasa pertama sebenarnya kami sasar separuh daripada 130,000 isi rumah miskin tegar sepanjang tahun. Dengan peruntukan yang ada kini, kami beri 18,000 Bakul Rahmah dulu.

“Ini bukan untuk B40 tapi untuk yang lebih bawah daripada itu iaitu golongan miskin tegar yang mana antara kriterianya adalah pesakit kronik, salah seorang suami atau isteri terpaksa berhenti kerja kerana menjaga anak yang sakit, terpaksa menjaga sanak saudara anak yatim, itu semua kami ambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan kembali ke sekolah peringkat negeri Johor di Johor Bahru hari ini.

Sementara itu, mengenai pakej pakaian raya rahmah, ia akan dimaklumkan kemudian selepas sesi libat urus bersama industri tekstil selesai minggu hadapan, kata Salahuddin.

“Insya-Allah kami akan umumkan pakej pakaian raya rahmah yang akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

“Semalam diumumkan RM100 juta untuk menjayakan inisiatif Payung Rahmah jadi saya akan melihat butiran kepada RM100 juta itu dengan cepat. Pembentangan belanjawan seterusnya bulan Oktober, jadi kena cepat, kalau boleh sampai kepada semua golongan sasar,” katanya. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen