Thailand gesa PBB sungguh-sungguh tamatkan perang di Ukraine


Thailand mengulangi pematuhan tidak berbelah bahagi terhadap Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa sebagai titik rujukan. – Gambar fail EPA, 25 Februari, 2023.

THAILAND menyeru semua pihak meningkatkan usaha diplomatik untuk terbabit dalam dialog bagi mencapai penyelesaian secara aman sebagai jalan keluar kepada konflik Russia-Ukraine.

Duta dan wakil tetap Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Suriya Chindawongse berkata perang di Ukraine menjadi cabaran yang belum pernah berlaku dan paling berbahaya yang pada umumnya turut mengancam geopolitik, kewangan, ekonomi, keselamatan dan keseimbangan kolektif dunia.

Beliau berkata Thailand mengulangi pematuhan tidak berbelah bahagi terhadap Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa sebagai titik rujukan untuk standard tingkah laku negara.

Thailand juga menjunjung hak rakyat untuk hidup dalam keadaan sejahtera dan pertimbangan kemanusiaan sama sekali tidak boleh dipolitikkan dan didiskriminasi.

“Kami menggesa PBB berusaha sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh dalam diplomasi untuk melindungi hak asasi manusia di seluruh dunia dan bukan menjadi sebahagian permainan moral dan saling menuding jari antara satu sama lain.

“Usaha terbaik harus dibuat untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembabitan dan dialog bagi menyelesaikan pertikaian…,” katanya sebelum sidang khas tergempar ke-11 Perhimpunan Agung PBB.

Pada Khamis, Thailand dan 140 negara lain mengundi untuk menggesa peperangan di Ukraine dihentikan dan menuntut Russia mengundurkan tenteranya. Resolusi itu dibantah tujuh negara termasuk Korea Utara dan Syria manakala 32 lagi berkecuali termasuk China dan India. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen