CHINA hari ini berharap pemecatan Setiausaha Negara Amerika syarikat (AS) Rex Tillerson tidak akan memberi kesan terhadap hubungan dua hala atau rundingan yang telah dirancang antara presiden AS dan pemimpin Korea Utara.
Beijing dipercayai mempunyai penilaian positif terhadap Tillerson berbanding Trump yang menghentam Beijing di Twitter tetapi pada masa yang sama secara peribadi memuji kepimpinannya.
“Kami berharap pemecatan ini sekurang-kurangya tidak memberi kesan terhadap perkembangan hubungan dua hala Sino-AS atau kerjasama Sino-AS dalam beberapa perkara penting,” kata jurucakap kementerian luar, Lu Kang, kepada pemberita pada taklimat media.
Pemecatan Tillerson berlaku ketika Trump bersiap sedia untuk mengadakan rundingan halus bersama Kim Jong Un.
Lu berkata China berharap AS “dapat mengekalkan situasi positif yang baru-baru ini terbina di semenanjung Korea, termasuk hasrat positif yang ditunjukkan oleh AS dan Korea Utara untuk mengadakan rundingan terus.
“Kami menghargai usaha Tillerson dalam jalinan hubungan Sino-AS,” kata Lu sambil menambah yang China berharap beliau akan terus menyokong perkembangan hubungan Sino-AS di masa depan.
Lu juga berkata Chine sedia untuk bekerja dengan Trump serta calon pengganti Tillerson, Mike Pompeo, bagi meneruskan hubungan berdasarkan rasa hormat menghormati dan kerjasama. – AFP, 14 Mac, 2018.
Komen