Ambank semak semula unjuran hasil kerajaan kepada RM291.5 bilion


Hasil cukai akan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kerajaan, dengan sumbangan 74.9 peratus manakala bahagian selebihnya adalah daripada hasil bukan cukai, kata Ambank Economic Research. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.

AMBANK Economic Research telah menyemak semula unjuran hasil kerajaan tahun ini kepada RM291.5 bilion, berdasarkan pengumuman Belanjawan 2023 pada Jumaat, berbanding anggaran sebelumnya sebanyak RM272.6 bilion.

Hasil cukai akan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kerajaan, dengan sumbangan 74.9 peratus manakala bahagian selebihnya adalah daripada hasil bukan cukai, katanya.

“Hasil cukai pendapatan petroleum dijangka lebih tinggi berbanding peruntukan sebelumnya, meningkat 12.7 peratus kepada RM18.2 bilion, dengan andaian harga minyak Brent oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada US$80 setong pada 2023,” katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Ia menambah nisbah defisit fiskal dijangka pada 5.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), yang lebih kecil berbanding 5.2 peratus daripada KDNK sebelum ini (dalam Belanjawan pertama 2023), “tetapi secara keseluruhan ia masih mencerminkan sedikit pengembangan”

“Seperti yang dijangkakan, pembentangan semula belanjawan ini tidak mengalami perubahan ketara berbanding Belanjawan 2023 1.0 sebelumnya yang dibentangkan pada 8 Okt 2023.

“Kumpulan berpendapatan B40 dan M40 adalah penerima utama dengan pemberian wang tunai bernilai RM8 bilion dan pemotongan cukai bagi berpendapatan sederhana juga dijangka memanfaatkan penggunaan swasta. Selain itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut  akan mendapat geran pinjaman dan pengurangan cukai,” katanya.

Menurut Ambank, peruntukan sebanyak RM8 bilion melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menunjukkan sokongan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dalam melindungi mereka daripada kos sara hidup yang tinggi dan kesan potensi kelembapan.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sedang membangun, masih ada keperluan untuk terus berbelanja untuk sektor pembangunan yang penting terutamanya dalam bidang pendidikan untuk merapatkan jurang kemahiran antara majikan dan pekerja. Perbelanjaan pembangunan untuk sektor penjagaan kesihatan adalah sama penting kerana populasi terus meningkat.

“Justeru, kami berpendapat perbelanjaan pembangunan akan terus dikekalkan pada tahap yang mencukupi untuk memastikan ekonomi akan kekal hampir dengan potensinya selain dapat menyokong aspirasi untuk beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen