Bank Dunia umum ASD$2.5 bilion tambahan pembiayaan untuk Ukraine


Ukraine terus berdepan kemusnahan ngeri yang memberi kesan ke atas negara dan rakyatnya selepas pencerobohan Rusia. – Gambar AFP, 25 Februari, 2023.

BANK Dunia semalam mengumumkan tambahan ASD$2.5 bilion dalam pembiayaan untuk Ukraine bertujuan menyokong perkhidmatan penting dan fungsi teras kerajaan ketika perang sedang berlaku di negara itu.

Pembiayaan itu dibuat setahun selepas pencerobohan Rusia dan pemberi pinjaman pembangunan menggerakkan lebih daripada ASD$20.6 bilion dalam pembiayaan kecemasan untuk Ukraine setakat ini.

“Setahun selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dunia terus menyaksikan kemusnahan ngeri yang memberi kesan ke atas negara dan rakyatnya,” kata Presiden Bank Dunia David Malpass dalam satu kenyataan.

Dana itu disediakan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat dan akan dihantar kepada kerajaan Ukraine selepas pengesahan perbelanjaan yang layak oleh bank.

“Kami akan terus menyokong rakyat Ukraine melalui projek pembaikan segera dan penyelarasan dengan kerajaan untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula,” kata Malpass.

Bank Dunia dalam pengumumannya turut menambah pembiayaan yang untuk perbelanjaan awam di Ukraine disusun untuk membantu meminimumkan risiko rasuah.

Pada Jumaat Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berikrar untuk melakukan apa sahaja bagi mengalahkan Rusia tahun ini, sempena ulang tahun konflik terbesar Eropah sejak Perang Dunia II.

Kereta kebal Leopard buatan Jerman yang pertama juga tiba di Ukraine, manakala Poland dijangka menghantar lebih banyak kereta kebal tidak lama lagi. – AFP, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen