Zelensky mahu jumpa Xi Jinping


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mahu berjumpa Presiden China Xi Jinping selepas sekutu rapat Rusia itu menggesa rundingan damai diadakan bagi menamatkan perang. – Gambar AFP, 25 Februari, 2023.

PRESIDEN Volodymyr Zelensky pada Jumaat berkata beliau bercadang berjumpa Presiden China Xi Jinping selepas Beijing mendesak rundingan damai diadakan bagi menamatkan perang Ukraine.

Presiden Ukraine itu juga berkata beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi menghalang China membekalkan senjata kepada Rusia untuk mengelak sebarang risiko “Perang Dunia Ke-3”.

“Saya bercadang untuk berjumpa Xi Jinping,” katanya kepada wartawan selepas setahun pencerobohan Rusia ke Ukraine berlaku.

“Ia akan menjadi perkara mustahak untuk keselamatan dunia,” katanya.

Zelensky tidak memberitahu tarikh dan tempat beliau bercadang berjumpa Xi tetapi meluahkan hasrat yang China akan menyokong “keamanan keadilan” dan Ukraine.

“Saya benar-benar mahu percaya yang China tidak akan membekalkan senjata kepada Rusia. Ini sangat penting untuk saya,” kata Zelensky.

Pada awal Jumaat, China menggesa rundingan damai diadakan dalam pelan diterbitkannya untuk menamatkan perang di Ukraine. Beberapa kuasa besar Barat meragui cadangan itu dan memberi amaran tentang hubungan rapat Beijing dan Moscow.

Zelensky juga berkata yang beliau yakin hanya negara yang wilayahnya sedang diserang boleh memulakan “sebarang inisiatif keamanan.”

Beijing berusaha meletakkan dirinya sebagai pihak berkecuali dalam konflik itu, masih mengekalkan hubungan strategik yang rapat dengan Rusia. – AFP, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen