KERAJAAN bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20% selama tiga bulan bermula 1 Mac, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
“Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022, antaranya sejumlah RM436 juta disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di institusi pengajian tinggi awam.
“Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan Internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network,” katanya. – Bernama, 24 Februari, 2023.
Komen