RM64 bilion minimumkan kos sara hidup, kata Anwar


Menu Rahmah antara usaha kerajaan perpaduan membantu rakyat susah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

KERAJAAN pada tahun ini menyediakan dana sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif sebagai usaha meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kementerian berkenaan harus memastikan dana itu dilaksana secara berkesan dan mengelakkan daripada berlaku sebarang ketirisan.

“Konsep Payung Rahmah diperkenalkan sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan. Salah satunya ialah inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya RM5. Alhamdulillah inisiatif Menu Rahmah ini dijangka terus menerima sambutan yang baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada peniaga, penjaja, pekerja warung, restoran kecil yang mencatat untung kecil tetapi sanggup membantu rakyat susah,” kata Anwar merangkap menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar berkata melalui Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30% lebih murah berbanding pasaran dengan penyediaan RM100 juta untuk menjayakan program itu di 222 kawasan Parlimen.

Perdana menteri berkata kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

Menyentuh berkenaan sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi golongan B40, Anwar berkata isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.

“Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Ini bermakna keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

“STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion,” katanya.

Anwar berkata kerajaan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah khusus kepada 2 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun dengan peruntukan RM400 juta. – Bernama, 24 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen