.jpg)
MENTERI Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan pengurangan cukai pendapatan individu ke atas kumpulan pertengahan M40, yang akan menambah pendapatan boleh guna mereka.
Pada masa sama, beliau juga mengumumkan kenaikan cukai pendapatan individu bagi kumpulan berpendapatan tinggi, dalam penstrukturan semula percukaian yang disifatkannya “progresif”.
“Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000,” umumnya semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Pengurangan cukai pendapatan itu dijangka memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai.
Bagi golongan yang berpendapatan tinggi melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta, kadar cukai ke atas mereka akan dinaikkan antara 0.5 sehingga 2%.
“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” jelas Anwar.
Menurut Anwar, penstrukturan semula kadar cukai ini akan mengurangkan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta tetapi memberi manfaat kepada rakyat khususnya M40.
Dalam ucapannya, Anwar merakamkan penghargaan ke atas golongan M40 yang selama ini menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi meskipun terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau mengakui kumpulan ini selalu merasa tercicir ketika kerajaan memberikan tumpuan untuk menangani golongan B40.
Di bawah Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini pada 7 Oktober 2022, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak 2% untuk tahun taksiran 2023.
Ia diturunkan daripada 13% kepada 11% bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21% kepada 19% untuk RM70,001 hingga RM100,000.
Cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5% kepada 25%. – 24 Februari, 2023.
Komen