Insentif, tanah, geran teknologi galakkan pelaburan swasta dalam pertanian, kata Anwar


Anwar Ibrahim berkata Bank Negara menyediakan dana sehingga RM1 bilion untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

KERAJAAN akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar melalui penyediaan insentif, tanah, pembiayaan dan geran teknologi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan supaya berskala besar dan berdaya saing bagi memastikan bekalan makanan pada harga berpatutan.

“Dalam mendepani tantangan kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan, sektor agromakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan dana sehingga RM1 bilion di bawah skim pembiayaan agrofood untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran.

Menyentuh aspek latihan dan bimbingan, Anwar berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia akan memperluas penganjuran program Digital Agtech untuk melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi.

“Inisiatif ini dianggarkan dapat memanfaatkan 100 pertubuhan peladang kawasan seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga bercadang untuk memberi elaun modal dipercepat dan mengecualikan cukai pendapatan 100% ke atas perbelanjaan modal.

Menyentuh lebih lanjut berkenaan cukai, Anwar menjelaskan bahawa tempoh permohonan galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga akhir 2025 dengan skop galakan turut diperluas merangkumi projek pertanian moden berasaskan pertanian persekitaran terkawal. – Bernama, 24 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen