TIGA calon bagi jawatan Ketua Pemuda Umno mengesahkan akan bertanding untuk merebut jawatan itu pada Pemilihan Umno 2023-2026, setakat ini.
Setiausaha Pemuda Umno Hasmuni Hassan berkata bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula empat individu mengemukakan borang pencalonan mereka.
“Setakat ini, tiga calon iaitu Dr Muhamad Akmal Saleh, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan Meor Hassan Mat Ali mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
“Seorang lagi calon iaitu Armand Azha Abu Hanifah saya difahamkan akan menghantar borang pencalonan hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan calon Pergerakan Pemuda Umno peringkat Kedah di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata empat calon bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno yang mengemukakan borang pula adalah Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Mohd Nazifuddin Najib, Mohd Hairi Mad Shah dan Muhammad Farhan Khairuddin.
Sementara itu, dalam sidang media sama Mohd Nazifuddin berkata beliau tidak menganggap kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri Najib Razak akan memberikan laluan mudah untuknya memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno.
“Tak kisah anak Najib atau tidak, masih ada kemungkinan untuk kalah atau menang, jadi saya menghormati proses pemilihan… jadi saya kena kerja lebih kuat untuk mendapat sokongan,” katanya yang turut akan bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Langkawi.
Pemilihan Umno diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini dengan persidangan tahunan Umno cawangan dan pemilihan jawatankuasa cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri cawangan dari 1 hingga 26 Februari.
Selain itu, mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Bernama, 24 Februari, 2023.
Komen