PBB desak Rusia segera undur tentera dari Ukraine


Ukraine mendapat sokongan kuat dengan 141 daripada 193 anggota PBB menyokong berbanding tujuh menentang, manakala 32 lagi termasuk China dan India berkecuali pada Perhimpunan Agung PBB pada Khamis. – Gambar AFP, 24 Februari 2023.

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memperoleh sokongan majoriti terhadap resolusi tidak terikat yang menuntut Rusia mengundurkan tenteranta dari Ukraine dengan serta-merta dan tanpa syarat.

Resolusi diluluskan genap setahun pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ukraine mendapat sokongan kuat dengan 141 daripada 193 anggota PBB menyokong berbanding tujuh menentang, manakala 32 lagi termasuk China dan India berkecuali. 

Sokongan untuk Kyiv tidak banyak berubah berbanding Oktober lalu, ketika itu 143 negara mengundi mengecam pengisytiharan penggabungan empat wilayah Ukraine oleh Rusia. 

“Hari ini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyatakan dengan sangat jelas.

“Undian ini menunjukkan masyarakat antarabangsa menyokong Ukraine,” kata Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell. 

Undian dijalankan selepas perbahasan selama dua hari, di mana Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba menggesa masyarakat antarabangsa untuk memilih “antara yang baik dan jahat”.

Kuleba juga menolak pandangan bahawa Kyiv hanya mendapat sokongan Barat iaitu Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan sekutu utama mereka.

“Undian ini menyanggah hujah bahawa Global South tidak berpihak kepada Ukraine, kerana banyak negara mewakili Amerika Latin, Afrika dan Asia mengundi untuk menyokong hari ini,” katanya.

“Sokongan adalah lebih luas, dan ia hanya akan terus disatukan dan diperkukuh.” – AFP, 24 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen