PM sembah maklum kepada Agong Belanjawan 2023


Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentangan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Menerusi catatan di Facebook Anwar berkata perkara itu disembah maklum ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullah bagi urusan mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.

Esok, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Perdana menteri pada 20 Disember lepas membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lepas bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober tahun lepas bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. – Bernama, 23 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen