TIGA penyerang menikam orang awam secara rawak selepas merempuh pejalan kaki dengan van pada Sabtu, membunuh enam orang dalam serangan “pengganas” di pusat bandar London sebelum pegawai bersenjata menembak mati ketiga-tiganya.
Semasa mengamuk di sekitar London Bridge, ketiga-tiga mereka memakai seperti jaket bunuh diri yang ternyata “tipu helah”, kata Mark Rowley, ketua penguasa yang memerangi keganasan.
“Kini disahkan yang tujuh orang awam terbunuh,” kata Ketua Polis London, Cressida Dick kepada wartawan, menjadikan jumlah kematian sebelum ini enam orang kepada tujuh.
Susulan laporan yang penyerang ke empat masih bebas, Rowley berkata: “Setakat ini kami percaya ada tiga penyerang tetapi masih terlalu awal untuk menolak semua kemungkinan.”
Sekurang-kurangnya 48 orang yang cedera dikejarkan ke hospital di kawasan itu, menurut Perkhidmatan Ambulan London.
“Kami membawa 48 pesakit ke lima hospital sekitar London dan merawat sejumlah yang lain di tempat kejadian kerana kecederaan kecil,” kata perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.
Antara yang cedera termasuklah seorang pegawai Polis Trafik Britain, yang antara terawal sampai di tempat kejadian dan ditikam di muka dan kaki.
Serangan itu berlaku hanya lima hari menjelang pilihan raya umum dan hanya beberapa minit selepas berakhirnya perlawanan akhir Liga Juara antara Real Madrid dan Juventus di kawasan penuh dengan bar di mana ramai peminat menonton bola sepak di televisyen.
Britain kini dalam keadaan berjaga-jaga, hanya 12 hari selepas seorang pengebom berani mati membunuh 22 orang di sebuah konsert di Manchester, barat laut England dan menjelang pilihan raya umum pada Khamis, di mana keselamatan menjadi keutamaan.
Ia merupakan kejadian terbaru dalam rentetan serangan yang melanda Eropah, termasuk di Paris, Berlin dan Saint Petersburg.
‘Ini untuk Allah’
Saksi menceritakan van dipandu laju ke arah beberapa pejalan kaki di London Bridge dan kemudian seorang lelaki atau lebih sambil memegang pisah berlari ke arah bar yang dipenuhi pengunjung.
Seorang saksi berkata melihat lima penyerang dan beberapa orang memberitahu mereka dikunci di dalam pub dan restoran oleh pihak polis serta terpaksa keluar dengan tangan di atas kepala mereka.
Jurugambar Itali Gabriele Sciotto, yang sedang menonton perlawanan akhir bola sepak di pub Wheatsheaf dalam Borough Market berkata, dia melihat tiga lelaki ditembak di luar pub.
Dalam gambarnya, seorang lelaki memakai seluar askar, dengan kepala bercukur dan kelihatan seperti tali pinggang dengan kanister melekat pada tubuh dilihat di atas tanah dengan dua lagi mayat di belakangnya.
Seorang lelaki bernama Gerard memberitahu BBC: “Mereka menikam semua orang. Mereka berlari dan berkata ‘Ini untuk Allah’.”
Polis bertindak segera dengan mengerahkan puluhan kenderaan kecemasan dan pihak berkuasa membawa orang ramai jauh dari tempat kejadian.
Ketiga-tiga suspek ditembak polis bersenjata dalam tempoh lapan minit panggilan pertama kepada perkhidmatan kecemasan.
Serangan itu mengimbau kembali serangan ke atas Westminster Bridge, London oleh seorang mualaf British Khalid Masood, 52, yang merempuh keretanya ke laluan pejalan kaki sebelum merempuh halangan sekitar Parlimen dan menikam mati seorang pegawai polis mati.
Polis berkata, laporan pertama diterima adalah “kemalangan antara sebuah kenderaan dengan pejalan kaki di London Bridge” pada 10.08pm waktu tempatan (5.08 pagi hari ini waktu Malaysia) dan diikuti “laporan kejadian tikam dalam Borough Market,” di hujung selatan jambatan.
Perdana Menteri Theresa Mei akan mengadakan mesyuarat menteri tergempar lewat hari ini dan Facebook mengaktifkan fungsi pemeriksaan keselamatan untuk pengguna di London bagi memudahkan makluman kepada insan tersayang mengenai keselamatan mereka keadaan di sana.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menawarkan bantuan menerusi tweet “Kami bersama anda. Semoga tuhan merestui!”
Bintang pop Amerika Ariana Grande, yang konsertnya di Manchester di serangan pengganas minggu lalu, menulis tweet: “Doa untuk London”.
Saksi di London Bridge melaporkan melihat van menaiki laluan pejalan kaki dan merempuh beberapa individu dan seorang lelaki dengan pisau berlari.
“Ada sebuah van merempuh pagar di London Bridge. Kemudian seorang lelaki dengan pisau, berlari. Dia menuruni tangga dan menuju ke bar,” kata Dee, 26, yang kelihatan terkejut dan enggan memberikan nama penuhnya kepada AFP.
Wartawan BBC Holly Jones, yang berada di sana pada masa kejadian itu, berkata melihat van dipandu seorang lelaki dengan kelajuan “kira-kira 50 batu (80 kilometer) sejam”.
Alex Shellum di pub Mudlark berhampiran tempat kejadian serangan tersebut berkata seorang wanita datang ke dalam bar dengan keadaan berdarah di leher.
“Kelihatan lehernya dikelar,” katanya kepada BBC.
Seorang lagi saksi, yang hanya memberikan namanya sebagai Alessandro, memberitahu radio BBC melihat mogok melanggar beberapa orang di London Bridge.
“Saya nampak van ini ke kiri dan kanan, kiri dan kanan, cuba melanggar seberapa ramai orang yang boleh. Dan orang cuba mengelak daripada daripada laluan van.
“Kemudian saya cuba membantu mereka yang cedera.”
“Terdapat lima atau enam orang yang kami cuba bantu, kebanyakannya muda.”
Sementara itu, sepasang suami isteri, Ben dan Natalie memberitahu BBC Radio 5 Live, mereka berada di luar Borough Market apabila menyaksikan kejadian berlaku.
Ben berkata: “Kami melihat orang ramai melarikan diri dan kemudian saya melihat seorang lelaki berbaju merah dengan bilah pisau yang besar, beranggaran 10 inci panjang, menikam seorang lelaki, kira-kira tiga kali.
“Kelihatan lelaki itu cuba campur tangan, tetapi tidak banyak yang boleh dilakukannya. Dia ditikam agak dengan kejam dan rebah.”
Ben berkata lelaki itu kemudian berjalan ke arah Southwark Tavern dan melihat kerusi logam dilemparkan ke arah lelaki itu.
“Kemudian kami mendengar tiga das tembakan, saya pasti bunyi tembakan, dan kami lari.” – 4 Jun, 2017.
Komen