SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, kata Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata agensi antirasuah memang memerhatikan laporan audit itu setiap kali ia diumumkan.
“Kami memberi jaminan sekiranya bahagian siasatan kami telah meneliti dan mendapati ada isu yang perlu, kita buka kertas siasatan. Perkara ini saya akan maklum kemudian.
“Perlu diingat bahawa tugas kita ialah melihat soal pelakuan jenayah sesuatu perkara itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid pada sidang media menjelaskan laporan auditnya berkata pihaknya mengesan keseluruhan ketirisan wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sebanyak RM158.08 juta, yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan.
Tiga kementerian itu ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (sekarang Kementerian Komunikasi dan Digital) dan Kementerian Pertahanan.
Empat jabatan yang terlibat pula ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – 23 Februari, 2023.
Komen