SPRM teruskan siasatan terhadap Muhyiddin


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan berhubung projek Jana Wibawa belum lengkap dan masih dalam proses. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Februari, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan ke atas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung projek Jana Wibawa, kata ketuanya Azam Baki.

Siasatan itu belum lagi selesai dan kertas siasatan belum dapat dilengkapkan untuk diserah kepada pihak Peguam Negara, katanya.

“Siasatan masih dijalankan. (Kertas siasatan) belum lagi (diserahkan pada peguam negara)... masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Azam ditanya sama ada Muhyiddin akan didakwa di mahkamah susulan kenyataan beliau sebelum ini yang menjelaskan pengerusi Perikatan Nasional itu dipanggil ke SPRM bukan sebagai saksi.

“Itu saya serah pada peguam negara,” katanya. 

Mengulas sama ada tindakan Muhyiddin yang memberi kenyataan dengan mendakwa hanya hadir sebagai saksi dan bukannya suspek boleh dianggap mengganggu siasatan, beliau enggan mengulas perkara itu.

“Itu saya tidak boleh komen tapi siasatan terhadapnya yang dijalankan kita teruskan seperti biasa,” katanya.

Sabtu lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

Keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

Sebelum ini Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendakwa parti itu menjadi mangsa “pendakwaan terpilih” selepas ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.

Beliau berkata, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti. – 23 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen