PBB cadang kurangkan hutang negara miskin


Program Pembangunan PBB berkata sudah tiba masanya jurang yang semakin ketara antara negara-negara kaya dan miskin ditangani. – Gambar EPA, 23 Februari 2023.

PROGRAM Pembangunan PBB (UNDP) semalam mencadangkan hutang 52 negara berpendapatan rendah dan sederhana dikurangkan.

Cadangan itu dikemukakan dua hari sebelum menteri kewangan G20 bermesyuarat di India pada Jumaat.

Negara-negara tersebut, sama ada dibebani hutang atau berisiko berdepan masalah hutang, menyumbang lebih 40% daripada penduduk termiskin di dunia serta sukar untuk mengekalkan perkhidmatan penting akibat kos pembiayaan hutang, kata UNDP.

“Negara-negara yang paling terbeban dengan hutang dan kurangnya akses kewangan juga dilanda pelbagai krisis lain  –  antara ekonomi yang teruk terjejas akibat Covid-19, dihimpit kemiskinan dan perubahan iklim yang kian memburuk.

“Sudah tiba masanya untuk kita menangani jurang yang semakin ketara antara negara-negara kaya dan miskin, bagi mengubah landskap multilateral, dan mewujudkan kaedah yang sesuai pasca-Covid,” kata pentadbir UNDP Achim Steiner.

UNDP mencadangkan nilai stok hutang luar negeri awam 52 negara berkenaan pada tahun 2021 dikurangkan sebanyak 30%, yang menurutnya dapat membantu menjimatkan sehingga AS$148 bilion (RM657.42 bilion) dalam pembayaran hutang selama lapan tahun.

Sejumlah AS$120 bilion lagi dapat dijimatkan dengan mengubah hutang bon negara berpendapatan sederhana ke kadar pemiutang rasmi.

Cadangan itu selari dengan pengumuman Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk meningkatkan perbelanjaan negara-negara bagi mencapai matlamat pembangunan lestari, di mana usaha menangani hutang antara isu yang dikenal pasti.

Tujuh belas matlamat pembangunan lestari itu termasuk menghapuskan kemiskinan dan kelaparan, akses kepada air bersih dan tindakan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim. – AFP, 23 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen