LCS: Mindef rujuk AGC berhubung perjanjian penyelesaian antarabangsa


Kata Mohamad butiran terperinci keputusan pengurangan jumlah perolehan LCS akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat.. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa dalam isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menteri berkenaan Mohamad Hasan berkata ini selepas pihak ketiga meminta kerajaan menandatangani surat indemniti sebagai syarat sebelum mereka menandatangani Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa.

Beliau berkata surat itu bagi membolehkan pihak tersebut dilepaskan daripada segala tanggungjawab atau dipersalahkan sekiranya berlaku sebarang faktor pengurangan pada masa depan.

“Itu (surat indeminiti) satu isu yang kita amat keberatan untuk tandatangani. Kita akan rujuk kepada AGC untuk dapatkan nasihat berhubung kaveat yang diletakkan mereka untuk mereka bersetuju tandatangan Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa.

“Tetapi kementerian tidak setuju (menandatangani surat indemniti) kerana bagi kami sesiapa yang tersabit (bersalah) maka tersabitlah,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata keputusan menggugurkan penglibatan pihak ketiga dalam pembinaan LCS sudah diputuskan kerajaan terdahulu selaras dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Mengenai keputusan untuk mengurangkan jumlah perolehan LCS daripada enam kepada lima kapal beliau berkata butiran terperinci keputusan tersebut akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat.

Walaupun keputusan pengurangan perolehan kapal berkenaan dibuat kerajaan terdahulu, namun terdapat keperluan Mindef membawa semula keputusan itu untuk diteliti jemaah Kabinet yang baharu.

Selain itu Mohamad berkata semua siasatan berhubung isu LCS tetap diteruskan di samping proses pembinaan dan menyiapkan kapal pertama tetap berjalan seperti biasa.

“Kertas mengenai hala tuju berkaitan perolehan LCS kepada Kabinet kerajaan terdahulu sebanyak empat kali dan dipersetujui supaya projek ini diteruskan malah perlu dipercepatkan.

“Lebih lama kita tunggu akan menyebabkan keadaan pertahanan negara terdedah (kepada ancaman) disebabkan kelompongan aset utama kita,” katanya. – Bernama, 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen