Ka Siong gamatkan Dewan Rakyat dengan 3 butir telur ayam


Ka Siong membawa tiga butir telur untuk ditunjukkan perbandingan saiz kepada sidang Dewan Rakyat. – Gambar Youtube, 22 Februari, 2023.

AHLI Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong menarik perhatian sidang Dewan Rakyat hari ini apabila membawa bersamanya tiga butir telur ayam.

Beliau yang sering membangkitkan krisis bekalan telur di pasaran tampil membawa sebutir telur import dari India, sebutir telur ayam tempatan dan sebutir telur Omega bagi membuat perbandingan saiz juga harganya.

“Dalam konteks ini saya bawa telur dari India, saya beli 50 sen. Ini adalah telur Malaysia (menunjukkan telur tempatan) yang harganya dikawal, 45 sen ini. Kita dapat lihat beza saiznya. Kita dapat lihat telur dari India ini berharga 50 sen lebih kecil daripada telur Malaysia…ini kekurangannya.

“Kalau kata telur Omega ini, telur kampung, harganya 76 sen. Orang kaya, orang berada boleh beli tapi inilah puncanya (tunjuk telur Malaysia) nak bantu Perusahaan Kecil dan Sederhana khususnya orang Melayu untuk buat kuih,” katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Ka Siong berkata kerajaan perlu menyelesaikan isu bekalan telur dengan segera supaya tidak timbul masalah sekiranya tiada stok telur menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri ini.

Mohamad berkata pemberian subsidi bagi penternak ayam dan pengeluar telur diteruskan sehingga Jun ini dan kemudiannya kerajaan akan mengkaji semula keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur.

Beliau berkata inisiatif mengimport telur dari India hanyalah langkah sementara untuk menampung permintaan.

Berkongsi hasil pertemuan beliau dengan sebuah syarikat pengeluar telur Bumiputera, Mohamad berkata faktor kekurangan tenaga kerja juga menjadi antara perkara yang menjejaskan pengeluaran telur tempatan.

“Pengeluar telur ini mampu mengeluarkan 500,000 telur sehari tetapi kerana kekurangan pekerja, pengeluar terpaksa tutup satu loji menyebabkan dia keluarkan hanya 300,000 telur sahaja.

“Dengan langkah diambil kerajaan melalui bulan Januari hingga Mac yang mempermudahkan kemasukan pekerja (menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing), maka daripada situ kita lihat bahawa pertambahan pekerja di sektor ini termasuk ladang ayam tadi, maka kita lihat perkara ini akan pulih,” katanya. – Bernama, 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen