MOT teliti benarkan lesen memandu diperbaharui hingga 10 tahun


Katanya mungkin lesen yang diperbaharui 10 tahun sekali gus itu boleh diberikan potongan bayaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) sedang meneliti untuk membenarkan lesen memandu diperbaharui sehingga 10 tahun kata menterinya Anthony Loke.

Katanya beliau sudah mengarahkan pegawai kementerian untuk mengemukakan kertas kerja berkait perkara tersebut.

“Kalau bayar sekali gus 10 tahun mungkin kita boleh berikan sedikit potongan dari segi yuran lesen memandu tersebut untuk menggalakkan rakyat memperbaharui lesen memandu bagi satu tempoh yang lebih panjang. Setakat ini sehingga lima tahun saja.

“Itu cadangan yang mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika menyentuh soal cadangan agar yuran lesen memandu dibayar sekali sahaja, Loke berkata kementeriannya perlu meneliti perkara itu.

“Supaya lesen memandu ini sekali gus, bayar sekali biar seumur hidup boleh gunakan lesen itu. Memang itu satu cadangan yang perlu kita teliti dan ia juga memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

“Kerana apabila lesen yuran itu dikutip setiap tahun, ia juga salah satu sumber kerajaan melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya.

Dalam ucapan sama Loke berkata cadangan menurunkan harga cukai jalan memerlukan kajian menyeluruh memandangkan sebarang keputusan yang diambil akan memberi implikasi kepada kutipan hasil negara.

Katanya kutipan cukai jalan menyumbang kira-kira RM3 bilion kepada hasil kerajaan.

“Memandangkan kita berdepan hasil yang menurun, sebarang keputusan menurunkan harga cukai jalan akan memberi impak kepada pendapatan kerajaan,” katanya. – 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen