Kenderaan tanpa pemandu buatan China terima pengiktirafan dunia


Usaha penyelidikan dan penerokaan dimulakan pada 2013 oleh Baidu, antaranya kenderaan tanpa pemandu peringkat Apollo L4 diuji di perjalanan sejauh 45 juta km.– Gambar AFP, 21 Februari, 2023.

OPERASI dan ujian pengkomersialan kenderaan tanpa pemandu mula dijalankan di Kawasan Pembangunan Teknologi Ekonomi Beijing China sejak penghujung tahun 2022 dan ia dilaksanakan di Beijing, Chongqing dan Wuhan.

Selain tiga bandar itu, perkhidmatan pengangkutan pengkomersialan kenderaan tanpa pemandu yang mempunyai petugas keselamatan dalam kenderaan itu dijalankan di lebih 10 buah bandar seperti Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.

Penduduk bandar dapat menikmati perkhidmatan kenderaan tanpa pemandu dengan hanya perlu menggunakan aplikasi yang dimuat turun di telefon pintar.

Setakat Mac 2022 jalan raya yang dibuka untuk ujian operasi kenderaan tanpa pemandu melebihi 5,000 kilometer (km) di China manakala jarak perjalanan yang selamat kenderaan itu mencatat lebih daripada 10 juta kilometer (km).

Sementara itu jalan pintar sejauh 3,500 km turut dinaik taraf untuk memastikan kelancaran ujian berkenaan dan kenderaan tanpa pemandu China berjaya mencapai pengiktirafan dunia dari aspek teknologi serta produk.

Kini banyak syarikat di China sedang menjalankan penyelidikan dan penerokaan teknologi kenderaan itu yang menyaksikan Baidu antara syarikat yang paling banyak menggunakan kenderaan itu.

Usaha penyelidikan dan penerokaan dimulakan pada 2013 oleh Baidu, antaranya kenderaan tanpa pemandu peringkat Apollo L4 diuji di perjalanan sejauh 45 juta km.

Selain itu, Baidu turut mempunyai ‘Patent Family’ sebanyak 3,477, sekali gus mengungguli senarai sedunia selama empat tahun secara berturut-turut.

Pada masa sama Apollo Baidu turut disenaraikan sebagai satu daripada empat perintis dalam sektor kenderaan tanpa pemandu global selama dua tahun berturut-turut oleh Guidehouse, iaitu agensi penyelidikan terkemuka di dunia. – Bernama, 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen