RUSIA tidak akan menang dalam perang di Ukraine, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, ketika berucap di Poland semalam menjelang setahun pencerobohan Moscow ke atas Kyiv.
“Seorang diktator yang bertekad untuk membina semula sebuah empayar tidak akan mampu meredakan rasa cinta rakyat terhadap kebebasan, kekejaman tidak akan dapat menundukkan kebebasan.
“Rusia tidak akan menang di Ukraine, sama sekali tidak,” katanya di hadapan ribuan orang di Warsaw.
Ini merupakan lawatan rasmi Biden ke Poland dalam tempoh setahun.
Biden dalam pada itu menegaskan Barat tidak pernah merancang untuk menyerang Rusia seperti yang didakwa Presiden Vladimir Putin.
“Berjuta-juta rakyat Rusia hanya mahu hidup aman dengan jiran mereka, bukan bermusuh,” tambahnya sambil memberi jaminan Ukraine akan terus menerima sokongan Barat.
“Tidak ada keraguan mengenainya. Sokongan kami untuk Ukraine tidak akan goyah, Nato akan bersatu padu.”
Biden dijadual bertemu pemimpin sembilan negara anggota Nato di Warsaw pada Rabu. – AFP, 22 Februari 2023.
Komen