Isu seludup tembakau, produk beralkohol antara tumpuan Dewan Rakyat


Menteri-menteri akan menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing pada sidang Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari 2023.

ISU mengenai penyeludupan produk tembakau dan rokok serta produk beralkohol antara yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan berkenaan akan ditanya oleh Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain meminta anggaran kerugian hasil duti eksais, cukai jualan dan duti import akibat penyeludupan itu. 

Sementara itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyatakan tindakan tegas berhubung kes penderaan kanak-kanak yang semakin serius di pusat jagaan kanak-kanak seluruh negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) pula meminta menteri pertanian dan keterjaminan makanan menyatakan status terkini program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang dilaksanakan sebelum ini.

Turut bertanyakan soalan ialah Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta menteri kewangan menyatakan sebab utama pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan dengan mata wang asing seperti dolar AS, Singapura dan Rupiah Indonesia serta kesan ke atas ekonomi dan inflasi negara.

Selesai sesi soal jawab, menteri-menteri akan menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing. – Bernama, 22 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen